Rabu, Oktober 21, 2009

TESCO, CARREFOUR & GIANT BUNUH BUDAYA NIAGA RAKYAT MALAYSIA

APAKAH INI KEBANGAAN KITA?
Bagaimana kalau satu hari nanti selepas penat bekerja dibawah telunjuk orang lain semenjak bertahun-tahun lamanya dan kita teringin buka perniagaan sendiri seperti Kedai Runcit contohnya. Kita pun mesti teringin jadi Big Boss. Mampukah kita bersaing dengan Gedung-Gedung Besar ini. Mereka dapat harga yang dah tentu murah sebab mereka Pemborong Besar. Inilah dia Sistem Ekonomi Kapitalis yang secara senyap dianjurkan oleh Yahudi Zionis. Dan diterima pakai oleh seluruh dunia.
Kata nak suruh orang Melayu BELAJAR MENIAGA???


Ditulis Oleh HISHAMUDDIN RAIS

Dari negara atas angin - ianya datang dengan angkuh sekali. Besar tersergam - besarnya lebih besar dari semua yang besar. Orang ramai – orang ulu dan orang bandar - tercengang melopong – masuk lalat keluar cacing. Lalu orang ulu dan orang bandar berlabon sesama sendiri tentang betapa besarnya ‘unggun’ ini.

Orang ulu dan orang bandar tidak pernah melihat gunung yang sebesar ini. Mereka tidak pernah melihat pintu yang seluas ini. Maka mereka terus melangok dan melopong. Lalu orang ulu dan orang bandar ini mengheret anak anak mereka untuk turut sama menebeng dan melangok

Datuk Bandar tersenyum apabila melihat orang ulu dan orang bandar berduyun duyun datang untuk menyembah ‘unggun’ besar ini. Juak juak istana pun berkata inilah kejayaan yang telah di bawa. Inilah dia apa yang dipanggil pembangunan. Inilah dia kejayaan.

Jangan lupa wahai orang ulu dan orang bandar lima tahun lagi undilah aku sekali lagi.

Adalah seorang Mamat yang telah melihat ‘unggun’ ini. Dalam tercengang dan terlopong. Si Mamat ini hampir tidak percaya apa yang dilihat. Maka dianya pun berlari lari pulang ke kampongnya yang maha jauh di hulu. Maka apabila si Mamat sampai ke sebuah pekan di hulu maka dia pun bercerita pada kawan dan taulan. Maka ramailah anak muda melopong dan ternganga apabila mendengar kesah ‘unggun’ yang besar dari negara atas angin ini.

Maka cerita dan kesah ini sambung menyambung. Maka sampailah cerita ini kepada Tok Sidang lalu Tok Sidang membawa kepada Tok Khatib lalu di bawa kepada Tok Penggawa lalu di bawa kepada Tok Guru. Tok Guru yang belum pernah melihat ‘unggun’ yang bagini besar seperti yang di kesahkan amat amat berahi. Maka si Tok Guru telah menghantar wakil untuk menjemput tuan empunya ‘unggun ‘ agar datang membawa unggun ini ke kampongnya.

Demikianlah kesah adanya:

Hari ini kita semakin diasak oleh kaum pemodal antarabangsa untuk membuka pasaran dalaman negara kita. Dengan licik sekali kaum pemodal antarabangsa melalui jaringan badan-badan dan lembaga dunia seperti World Trade Organisation, FTA, APEC, Bank Dunia telah memaksa negara-negara di Asia, Afrika dan Latin Amerika untuk membuka pasaran mereka. Semua dilakukan berasaskan akidah dan firman : perdagangan bebas.

Justeru – hasilnya - negara kita sedang dilanggar oleh bencana unggun besar dari gedung Carrefour , Tesco dan Giant.

Gedung-gedung membeli belah ini sebenarnya adalah musuh kepada kita semua – musuh yaang datang dari negeri atas angin.

Memang sekali pandang kita akan melihat gedung-gedung memberi khidmat kepada pelanggan. Ini adalah pandangan yang amat juling dari mata yang bula. Pandangan juling ini lahir dari sesiapa sahaja yang tidak memiliki fikrah atau fikrah yang telah bonsai.

Amat disedari bahawa ramai warga berbangga dengan wujudnya gedung gedung ini yang dikatakan memberi khidmat dan keselesaan kepada mereka. Tetapi pendapat ini adalah pandangan juling berjangka pendek – sependek keupayaan otak mereka berfikir.

Betul – sekali pandangan – gedung ini sedang melambakkan bahan-bahan keperluan harian dari sayur mayur, ikan, daging, keperluan dapor, pakaian, pinggan mangkok, perhiasan rumah - malah semuanya ada untuk keselesaan para pembeli. Hanya gajah dan telor naga sahaja tidak ada – yang lain semua ada.

Disebalik semua keselesaan ini – ada racun ekonomi - yang sedang di bawa oleh gedung membeli belah ini. Racun ini meresap dengan perlahan-lahan tetapi yakinlah ianya akan membawa porak peranda ke atas ekonomi kita.

Dalam masa berjangka panjang gedung-gedung ini adalah pemusnah asas ekonomi negara bangsa. Dalam jangka panjang gedung-gedung ini akan menindih, menghimpit dan akhirnya akan mematikan perniagaan tempatan. Dalam jangka panjang gedung gedung ini akan membunuh kedai-kedai kecil. Akan mematikan petani kecil. Akan melupuskan Tok Peraih. Akan mengkebumikan kedai-kedai anak beranak – kedai adik beradik - yang berniaga di pekan dan badar yang menjadi watak pekan pekan kecil kita semenjak beratus tahun.

Ini bukan pandangan orang politik. Orang politik hanya dapat melihat dengan adanya bangunan tegak berdiri maka dengan bangganya mereka menjerit dan melolong - inilah dia pembangunan yang mereka bawa. Para politikus inilah yang membenarkan gedung gedung ini semakin berselirat di tanah air kita.

Wajib kita sedar - ramai orang politik ini tidak faham tentang ekonomi politik. Ilmu politikal ekonomi mereka amatlah kontot lagi cetek. Pembacaan dan pengkajian ekonomi mereka amatlah terhad. Tetapi mulut dan poket mereka amatlah besar. Kerana mulut besar dan akal kontot maka mereka tidak memiliki keupayaan untuk membuat kerja-kerja lain. Yang terbuka hanya menjadi orang politik atau macai politik atau menjadi rakan tidur kaum pemodal antarabangsa.

Orang politik yang tidak memiliki kesedaran ekonomi ini telah dilobi dan dirasuah oleh tuan empunya gedung. Orang-orang politik ini dijadikan orang depan – mungkin diberi saham/mungkin diberi menjadi ahli lembaga pengarah/mungkin diberi amoi - untuk melobi pengelulusan lesen-lesen agar gedung-gedung ini dapat membeli tanah-tanah di kawasan yang stratejik untuk beroperasi dalam tanah air kita.

Memang betul – sekali imbas – dilihat gedung-gedung ini memberikan harga yang murah berbanding dengan kedai runcit di pekan kecil. Memang betul dibawah bumbung gedung ini kita dapat memilih semua yang kita perlukan. Memang betul kita selesa dengan kesejukan hawa dingin ketika membeli belah dalam gedung gedung ini.

Tetapi waspada. Gedung berjaya meletakan harga yang murah kerana mereka menjual dengan volume/jumlah yang amat banyak. Ini dapat dilakukan kerana gedung ini datang dengan modal yang mengunung. Gedung-gedung ini bukan lagi membeli barangan dari Tok Peraih dari kampong sana dan kampong sini. Gedung ini memiliki segala macam gudang untuk mengeluarkan barangan yang akan dijual digedung mereka sendiri.

Untuk gula – gedung ini bukan hanya memiliki kilang gula malah memiliki ladang gula. Bagitu juga untuk tepong – bukan hanya kilang malah ladang gandum sendiri dimiliki oleh gedung ini. Bagitu juga untuk ayam , daging, sayur dan barangan dalam tin atau kotak. Semua adalah milik gedung ini.

Jika kilang itu bukan milik gedung ini seratus peratus besar kemungkinan tuan empunya gedung ini memiliki saham dan kepentingan dalam apa sahaja barangan lain yang akan di jual di dalam gedung. Banyak bahan bahan yang dijual datang dari negara atas angin. Justeru kapal laut dan kapal terbang juga dimiliki oleh gedung ini untuk menghantar barang-barang.

Tesco adalah syarikat membeli belah yang ketiga besarnya dalam dunia. Jaringan kepentingan gedung ini berselirat diseluruh dunia. Kerana ianya bagitu besar maka syarikat ini boleh menentukan harga barangan yang ingin dibelinya. Gedung ini boleh menekan harga bahan yang ingin mereka beli. Ini berlaku apabila mereka telah memonopoli pasaran.

Akan sampai satu ketika di mana kedai kedai kecil tempatan akan lupus kerana tidak dapat menandingi gedung gedung ini. Kedai-kedai runcit di pekan kecil akan tutup. Tok Peraih dan peniaga kecil – pekebun yang bejaja sendiri – akan lupus. Mak Cik penjual sayur, Pak Cik penjual ikan, Abang penjual daging di Pasar Khatijah akan hilang dengan sendirinya apabila Tesco muncul di Kota Bahru. Pasar borong Selayang atau Pasar Chow Kit akan terkapai kapai apabila gedung –gedung ini terus dibiarkan berkembang.

Gedung-gedung ini sedang membunuh pekan pekan kecil. Gedung-gedung ini yang akan mengambil tanah yang amat luas untuk dijadikan tempat letak kereta. Perhatikan rupa bentuk gedung ini. Ianya tidak memiliki nilai-nilai estetika tempatan langsung. Ianya bukan pekan atau bandar. Gedung ini adalah unggun yang menyesakkan pandangan.

Tidakkah disedari bahawa gedung ini tidak akan melahirkan silatulrahim antara pembeli dengan penjual. Tidak ada hubungan kemanusiaan antara si pembeli dengan si penjual – kerana yang menjual hanya kuli-kuli yang diupah seperti robot. Ini amat berbeza dengan hubungan kemanusian antara Mak Cik menjual sayur di pasar Khadijah dengan si pelanggannya. Mereka berkenal suai. Mereka berbual. Mereka merayakan diri mereka sebagai manusia. Mereka bukan hanya robot yang kerjanya hanya membeli sebagai konsumer.

Sedarlah - di kota-kota tradisional di Eropah – gedung-gedung ini dilarang untuk menjalankan perniagaan didalam badar. Mereka dinyahkan ke luar kota. Gedung ini tidak dibenarkan merosakan rupa bentuk kota asli. Kota San Sebastian di utara Sepanyol terus tidak membenarkan gedung ini dibuka didalam pekan. Gedung-gedung ini dilihat sebagai pemusnah budaya tradisional Sepanyol.

Dalam negara kita – kita amat juling – kita amat songsang. Kita gagal untuk melihat mudarat yang dibawa oleh gedung gedung ini. Kita dengan tidak tentu hala – tidak senereh harah mengikut kata orang Negeri Sembilan - merasa bangga kerana wujudnya ‘unggun’ ini di sebelah kawasan rumah kita. Inilah contoh fikrah yang bonsai. Inilah contoh slogan lompong : rakyat didahulukan. Tetapi sebenarkan orang yang berslogan – rakyat didahukukan itu sedang medahulukan kepentingan pemodal antarabangsa.

Tidakah ada kesedaran bahawa gedung ini sedang mengambil alih pekan pekan kita. Tidakkah disedari gedung gedung ini akan membunuh pasar malam kita.(TT)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

1. Gedung besar umpama dinosaur. Dinosaur pupus apabila bencana besar melanda. Kedai kecil umpama lipas. Lipas terus hidup dan berevolusi walau seberapa bersarpun bencana datang melanda. Di rumah kita sendiri pun susah hendak menghapuskan lipas sama sekali. Ia terus ada. Hari ini kita bunuh lima ekor lipas. Tetapi beberapa hari kemudian ia terus ada.

2. Sistem ekonomi umpama baldi. Gedung besar umpama batu besar. Batu-batu besar yang diisi ke dalam baldi boleh memenuhkan baldi. Tetapi masih ada ruang kosong di antara batu-batu besar itu. Hanya pasir boleh memenuhi ruang kosong di antara batu-batu besar tadi. Pasir yang dicurahkan ke dalam baldi mengambil tempat kosong yang tidak boleh dipenuhi oleh batu-batu besar. Pasir ini ialah kedai kecil.

3. Soalan cepu emas pertama? Dimanakah gedung-gedung besar tempatan? Kita melihat PERNAMA sebagai calon yang utuh. Tetapi adakah PERNAMA hanya mampu menjadi jaguh kampung sahaja? Bilakah mahu menjadi jaguh global? Demikian juga FELDA trading, cukupkah sekadar dengan jaringan D'Mart? Di manakah gedung-gedung besar tuan-tuan?

4. Lidi-lidi yang dihimpun dalam satu berkas lebih kuat dari lidi-lidi yang terasing di antara satu dengan lain. Falsafah ini ialah falsafah Melayu. Ia boleh diaplikasikan supaya kedai-kedai kecil menjadi kuat seperti gedung-gedung besar. Lidi dihimpun bukan seperti menghimpun saham syarikat-syarikat kecil seperti yang disarankan oleh TDM. Lidi berhimpun dari segi keseragaman polisi dan operasi.

5. Perkara pokoknya ialah ilmu mengurus gedung. Berapa ramaikah orang Melayu yang mempunyai ilmu mengurus gedung-gedung besar kalau tidakpun setanding dengan mereka yang mengendalikan Giant, TESCO, Carefour dan sebagainya? Apakah ada IPTA yang berkualiti tinggi untuk menghasilkan mereka yang mampu memiliki dan mengendali gedung-gedung besar seperti Wal-mart?