Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan

Ahad, Mei 25, 2008

Pulau Batu Puteh hanya satu MITOS. (Pulau yang dipadamkan dari peta Malaysia...)

Pada tarikh hitam 23 Mei 2008, secara rasminya Pulau Batu Puteh telah dipadam dari peta Malaysia. Namanya bakal menjadi satu mitos oleh anak cucu keturunan kita...



Ada sebuah pulau tunggul sebesar 2 padang bola sepak. Luasnya 0.2 hektar. Terletak pula diluar pantai tenggara Pengerang, Johor Malaysia. Kira-kira 12.8 dari Pengerang dan 64km ke timur Singapura. Mengambil masa 20 minit jika menaiki bot laju dari Teluk Rumania, Pengerang.

Telah menjadi 'duri dalam daging' diantara hubungan Malaysia dan Singapura. Sebetulnya banyak lagi duri yang masih belum dicabut. Ini salah satunya...

Kononnya dinamakan sebagai Pulau Batu Puteh secara tradisi oleh para nelayan di Johor yang sering menjadikan sebagai tempat persinggahan, kerana berwarna putih dan banyak didiami burung camar laut. Manakala orang Portugis menggelarkannya sebagai Pedra Branca yang bermaksud 'batu putih'.

Seorang pelayar Belanda bernama Johann van Linschoten sejak tahun 1583 telah mencatat bahayanya pulau ini kepada kapal-kapal yang belayar dari China dan juga yang datang dari selatan Melaka.

Percaya atau tidak, bahawa telah berlaku sebanyak 25 kemalangan diantara tahun 1824 hingga 1851 berhampiran pulau kecil ini. Manakala diantara tahun 2000 hingga 2004 berlaku 2 lagi kemalangan.

Kapten James Horsburgh dari Scotland telah membina sebuah rumah api pada tahun 1851, dan menamakannya sebagai Rumah Api Horsburgh. Kapten tersebut yang mewakili Syarikat Hindia Timur Inggeris telah mula melakukan kerja-kerja hidografi dan melukis peta kedalaman kawasan ini.

Pembinaan rumah api ini tujuannya adalah bagi membantu kapal-kapal yang akan melalui Selat Singapura dan Selat Melaka.

Sementara itu disebelah timur pula, telah dibina juga sebuah rumah api di Pulau Pisang. Bagi tujuan yang sama juga. Jadi apakah berbezaanya?Bezanya Pulau Pisang adalah sebuah pulau yang besar manakala Pulau Batu Puteh adalah sebongkah batu. Jadi secara fakta, Malaysia dan Singapura telah berebut 'sebongkah batu' yang terletak di satu kawasan yang agak stratergik.

Malaysia mula membuat tuntutan keatas pulau tersebut pada tahun 1979, ketika mahu menerbitkan peta rasmi baru. Dan telah memasukkan Pedra Branca dalam perairan lautnya. Ini berdasarkan jarak Pedra Branca adalah jauh dari Singapura (lebih dari 12 batu nautika). Malaysia telah berhujah bahawa apabila Kesultanan Johor menyerahkan Singapura dan 19 km sekeliling (10 batu nautika) kepada pihak British pada tahun 1824, penyerahan ini tidak termasuk Pulau Batu Puteh.

Pada tahun 1844,Sultan Johor hanya memberikan kebenaran untuk membina rumah api kepada pihak British.

Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) terletak 46 km (25 batu nautikal) dari Singapura; dan 14.3 km (7.7 batu nautikal) dari Johor.

Jadi Singapura hanya diberikan kebenaran mengurus rumah api, memandangkan tiadanya pelabuhan di Johor pada masa tersebut berbanding masa kini dengan wujudnya Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor. Ini memandangkan Malaysia pada waktu itu kurang berminat dengan industri perkapalan Sinagapura.

Singapura pula mengemukakan dakwaan bahawa mereka telah menguasai pulau tersebut semenjak 1840-an tanpa sebarang tentangan oleh pihak Malaysia. Pulau Batu Puteh, Middle Rocks, dan South Ledge penting sebagai rumah api dan tanda arah di laut.

Maka pada tahun 2003, Malaysia dan Singapura telah bersetuju membawa kes ini Makhamah Keadilan Antarabangsa. Oleh itu pada tarikh 6 Februari 2003 satu Perjanjian Khas telah ditandatangi oleh kedua-dua buah negara. Manakala Makhamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague, Belanda hanya mula membicarakan kes tuntutan ini pada Selasa, 6 November 2007.

Singapura diberikan empat hari (6-9 November) untuk menggulung hujah lisan pusingan pertama, sementara Malaysia diberikan giliran pada 13-16 November 2007. Pusingan kedua oleh Singapura pada 19 dan 20 November dan Malaysia pada 22 dan 23 November 2007.

Pada 23 Mei 2008, Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh mengumumkan keputusan pembicaraan tersebut bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura manakala Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan diisytiharkan milik Malaysia.

Pelbagai bukti sokongan dikemukakan seperti peta, gambar-gambar, dan rakaman suara telah dikemuka oleh kedua belah pihak yang bertikai.

Akhirnya pada tarikh 23 Mei 2008, Makhamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memutuskan Pulau Batu Puteh @ Preda Branca secara rasminya menjadi milik Singapura.

Detik hitam bagi seluruh rakyat Malaysia. Kita hilang sebuah pulau...selama-lamanya...

Salah siapa?


(Artikel ditulis oleh Moderator Indie berdasarkan sumber http://ms.wikipedia.org/wiki/Pulau_Batu_Puteh dan laporan semasa oleh akhbar-akhbar Malaysia.)

Khamis, Mei 01, 2008

'PARTI MELAYU SEMANGAT 46' (Penghormatan buat UMNO LAMA) Ditulis Oleh Moderator

Dalam kenangan...
Bapa Ekonomi dan Bapa Kemerdekaan.
(Foto Ihsan MY KU LI)


Masih ingat lagi pada Parti Melayu Semangat 46? Ia telah terkubur tanpa nisan. Telah mati dibunuh pada Mei 1996. Dibunuh oleh tangan pengasasnya sendiri demi 'Perpaduan Orang Melayu'. Ku Li dengan sikap merendah diri telah mengisytiharkan sanggup untuk menjadi 'Gurkha' UMNO.

Kebanyakkan generasi muda yang dilahirkan ditahun-tahun 80'an dan 90'an memang tidak berapa tahu tentang asal usul dan sejarah perjuangan parti nasionalis tulen ini. Besar kemungkinan hanya ingat-ingat lupa.

Parti Melayu Semangat 46 ditubuhkan oleh Yang Mulia Tengku Razaleigh Hamzah bersama-sama bantuan dan pengorbanan besar juak-juak politik disekelilingnya; akibat daripada tewasnya beliau ditangan Tun Dr. Mahathir semasa perebutan jawatan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO tahun 1987. Ku Li sebenarnya menang moral walaupun hanya tewas tipis dengan 43 undi.

Pertembungan bersejarah yang menyaksikan UMNO terbahagi kepada 2 kem.

Team A yang diterajui oleh Dr. Mahathir Mohammad, Ghaffar Baba, Anwar Ibrahim, Najib Tun Razak, Sanusi Joned, Mohammad Rahmat dan lain-lain.

Sementara Team B dikepalai oleh Musa Hitam dan Tengku Razaleigh, serta mandapat dokongan kuat dari Shahrir Samad, Abdullah Badawi, Ajib Ahmad, Rais Yatim, Harun Idris, Marina Yusuf, Othman Saat, Radzi Sheikh Ahmad dan banyak lagi.

Selepas pertandingan sengit tahun 87, hanya Abdullah Haji Ahmad Badawi (Pak Lah) sahaja satu-satunya calon dari Team B yang dapat mengekalkan kerusi Naib Presiden UMNO.

Parti Melayu Semangat 46 diwujudkan akibat daripada Tragedi Pengharaman UMNO tahun 1988. Salah seorangnya pangasas utamanya adalah Dato' Seri Utama Rais Yatim, yang telah sanggup 'membakar jambatan politiknya'.

Parti ini juga mendapat sokongan padu daripada kedua-dua bekas Presiden UMNO LAMA yakni, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Hussien Onn yang juga bapa kepada Ketua Pemuda UMNO sekarang, Dato' Seri Hishamuddin Tun HUssein. Kedua-dua bekas Perdana Menteri Malaysia ini telah menggunakan daya inisatif mereka untuk cuba menubuhkan parti baru yang bernama 'UMNO MALAYSIA' bagi menggantikan UMNO LAMA. Namun tidak diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran. Lalu kedua-duanya menyertai kem Tengku Razaleigh Hamzah.

Parti ini pernah menjalankan kerjasama dengan DAP dan PAS. Kejayaan terbesar Semangat 46 adalah dapat menumbangkan UMNO di Kelantan pada pilihanraya 1990, dengan pukulan TKO! Dengan itu wujudlah Kerajaan Islam Kelantan dibawah pemerintahan PAS yang diterajui oleh Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Kerajaan PAS Kelantan telah dapat bertahan sehingga ke hari artikel ini ditulis. Lebih kurang 18 tahun lamanya.

Gabungan diantara Semangat 46 dan PAS yang diberi nama 'Angkatan Perpaduan Ummah'berjaya dilakukan adalah disebabkan oleh karisma dan pengaruh politik Tengku Razaleigh Hamzah. Putera DiRaja Kelantan yang sangat disayangi oleh seluruh rakyatnya.
Angkatan Perpaduan Ummah terdiri daripada PAS, Semangat 46, HAMIM, Berjasa, KIMMA (Kongres India Muslim Malaysia).

Sementara disatu pihak lain Semangat 46 menubuhkan juga GAGASAN RAKYAT yang terdiri daripada DAP, PRM, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Barisan Progresif India (IPF). Inilah idea permulaan yang seterusnya ditiru kembali oleh Anwar Ibrahim untuk menggabungkan parti-parti pembangkang bagi menubuhkan Barisan Alternatif yang akhirnya bertukar menjadi Pakatan Rakyat. Cetusan idea asalnya adalah daripada Ku Li dan ini memang menjadi satu catatan terpenting bagi sejarah Politik Malaysia Moden. Kekuatan Bapa Ekonomi Malaysia ini mampu menyatu padukan gabungan pembangkang.

Angkatan hanya mampu menang di Kelantan sahaja pada pilihanraya 1990.Dalam pilihan raya umum 1995, Angkatan hanya tinggal PAS, PMS46, HAMIM dan Berjasa. GR tinggal DAP, PRM dan PSM46. Keputusannya, kerusi barisan ini merosot walaupun Kelantan dapat dipertahankan.

Nama asalnya Semangat 46. Ditubuhkan pada 5 Mei 1989. Mesyuarat Agung Pertama Semangat 46 pada 12 Oktober 1989 dirasmikan bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Satu fakta yang tidak diketahui ramai orang ialah bahawa Tengku Razaleigh Hamzah dan para penyokong kuat beliau tidak pernah sesekali 'Keluar UMNO'. Apa yang sebenarnya berlaku adalah mereka telah disekat untuk memasuki UMNO (Baru) akibat percaturan politik pada waktu itu. Oleh yang demikian, Semangat 46 telah menjadi wadah perjuangan baru untuk sebahagian bekas pemimpin-pemimpin UMNO LAMA meneruskan survival perjuangan mereka dengan membawa semangat penubuhan UMNO asal pada tahun 1946, di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Kemudian pada 10 Febuari 1994, nama parti itu ditukar kepada Parti Melayu Semangat 46. Warna rasmi yang menghiasi angka '46' yang terletak elok didalam bulatan kecil pada bendera, lambang, logo dan poster pilihanraya parti ini adalah warna hijau dan kuning.

Menteri Penerangan baru Ahmad Shabery Cheek adalah bekas Ketua Penerangan Semangat 46. Antara tokoh-tokoh besar UMNO yang sanggup berjuang dan tenggelam bersama Ku Li adalah Hajjah Marina Yusuf (emak kepada pelakon Ida Nerina), Hajjah Ilyani Ishak, Datuk Harun Idris (Bekas Legenda Ketua Pemuda UMNO), Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin (bekas Ketua Pemuda UMNO yang tewas ditangan Anwar Ibrahim didalam perebutan jawatan tersebut), Tan Sri Othman Saat (bekas Menteri Besar Johor), Tun Saleh Abbas (bekas Ketua Hakim Negara), Datuk Radzi Sheikh Ahmad (bekas Setiausaha Agung UMNO yang lepas), Arwah Pak Yim (setiausaha sulit Ku Li), Datuk Zainal Abidin Zain (bekas Timbalan Menteri Kabinet Pak Lah), Tengku Azlan (bekas Timbalan Menteri Kabinet Pak Lah) dan Datuk Paduka Ibrahim Ali (ahli parlimen Pasir Mas).

Ku Li hanya sempat berjuang didalam barisan alternatif hanya kira-kira lapan tahun. Parti Melayu Semangat 46 hanya terlibat dengan 2 pilihanraya umum, iaitu 1990 dan 1995.


PENAMBAHAN:
Selepas mengalami kekalahan 'bermaruah' pada pertandingan sengit di Perhimpunan Agung UMNO 1987, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Musa Hitam telah pun ditawarkan jawatan Menteri Tanpa Folio namun diatas sebab-sebab tertentu mereka telah menolak jawatan tersebut.

Datuk Shahrir Samad (bekas Setiausaha Politik Datuk Musa) telah bertanding sebagai Calon Bebas dengan lambang 'KUNCI' dan telah memenangi pilihanraya kecil yang cukup gempar di Johor Bahru tahun 1988 dengan majoriti undi yang besar. Musa Hitam dilaporkan telah menghantar satu pita ucapan memberikan sokongan moral kepada Shahrir yang telah membantu kemenangan peribadi beliau.

Musa dan Shahrir akhirnya kembali menyertai UMNO (Baru).