Rabu, Februari 18, 2009

MUKADDIMAH BUKU “MENGENAL DIRI DAN WALI ALLAH” Tulisan TUAN GURU SYEIKH MUSTAPHA MOHAMED AL-JIASI (AL-AHMADI) - Siri 2

Maka dengan sebab-sebab demikianlah yang mendorongkan saya rasa berkewajipan menulis buku ini iaitu setelah meminta izin dari guru untuk menjawab cabaran yang sangat berat itu,sedangkan saya adalah seorang yang sangat lemah dengan tenaga keruhanian khususnya pula dengan segenap sudut ilmu pengetahuan lahir batin.

Sekalipun demikian maka dengan taufiq dan hidayah Allah, Alhamdulillah saya dapat menyudahkan buku ini. Dan dengan demikian mudah-mudahan diharap akan hilang kegelapan dan kekeliruan karut –marut yang disebarkan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab terhadap kekayaan ilmu dalam khazanah Islam.

Selain dari itu saya tujukan tulisan buku inisebagai pembalasan keizinan guru dan sebagai pembalasan jasa kepada keikhlasan pengajaran guru dan juga sebagai persembahan kenangan bakti dari murid ke guru, yang mana saya tak dapat lupakan dalam seluruh kehidupan saya; kepada TUAN GURU AL-HAJI DAUD BIN AL-HAJI UMAR AL-LIBADI BUKIT ABAL, Kelantan darul na’im.

Tuan Guru Haji Daud salah seorang ulama’ yang banyak pengalaman dalam tasauf dan payah hendak dicari. Beliaulah seorang guru yang dapat menguasai jiwaku menyedari hakikat betapa pentingnya ilmu tasauf ini untuk difaham dengan betul oleh setiap orang yang mengakui dirinya Islam. Mudah-mudahan dengan itu akan hilang cela cerca terhadap ilmu tasauf yang sangat penting member tenaga dalam kehidupan manusia.

Juga saya ingin menyatakan telahan bahawa isi buku ini mungkin akan mendapat tentangan oleh sesetengah golongan malah mungkin tidak akan pecah liur oleh nafsu sesetengah orang, namun demikian maka saya inginlah juga mendedahkan kepada masyarakat umum dari segi pengetahuan tasauf itu adalah sebagai satu cabang kakayaan ilmu yang tersimpan dalam khazanah Islam, sama ada akan timbul reaksi pecah liur atau tidak. Tambahan pula saya diminta oleh sesetengah sahabat-sahabat betangkan perkara ini untuk manfaat pengetahuan umum. Dalam pada itu pula jika terdapat secara tidak langsung suluhan-suluhan pendapat mengenai hal masyarakat atau lainnya adalah semata-mata hak kebebasan pemikiran saya menurut kaca mata tasauf jua.

Kepada Allah jua saya memohon doa supaya dijadikan buku ini manfaat kepada umum sebagai derma bakti amalan soleh dari penulis dan gurunya. Mudah-mudahan ia akan mendatangkan kesedaran ruhani dan agama dan mendapat sambutan baru dalam tengah-tengah negara kita yang sedang membangun oleh golongan peminat ilmu dan setiap pembaca – Amin!

Suatu pesanan yang sangat perlu iaitu saya berharap buku ini janganlah dibaca secara sambil lewa atau dibacanya dimasa luang-luang waktu berehat dari penat bahkan pembacaannya memerlu kepada penelitian yang cukup kerana ilmu ini sangat dalam dan payah hendak ditakrifkan. Saya rasa saya tulis buku ini dengan bahasa yang paling mudah iaitu bahasa yang sengaja di perimbang antara desa dan kota, dalam pada itu kalau terdapat juga kesukaran hendak memaham ataupun tersalah silap maka itu adalah kerana kekurangan penyusunan atau ta’abir penulis.

Ya Allah Ya Rabbi! Terimalah amalan ku ini sebagai amalan soleh untuk ku, untuk ibu dan ayahku dan untuk hadiah kepada ruh-ruh Aulia Allah yang ku cintai dan almukminin wal mukminat. Amin.

Al FaQirul Makhlus,
Mustapha Mohamed Al-Jiasi (Al-Ahmadi)


Kota Bharu, Kelantan
12hb. Syawal, 1391 Hijrah,
30hb. November, 1971 Masehi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bukan yg terbaik untuk sesiapa yg ingin tahu apa itu ilmu tasauf, tasauf bukan ilmu ciptaan ulamak