Ku Li yakin kali ini beliau akan dapat melepasi halangan utama itu.“Halangan yang paling besar ialah sistem kuota. Tanpa kuota, sekarangpun saya dah boleh menang,’’ kata Ku Li
(foto ihsan Agenda Daily)
Peralihan kuasa, Ku Li temui laluan sukar Ibrahim Othman Sun Jul 13, 08 11:32:34 am MYT
ORANG yang paling risau dengan perkhabaran pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dengan timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak, ialah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).
Komen awal Ku Li, PM silap kerana jawatan Presiden Umno bukan milik peribadinya sebaliknya Pak Lah hanya Presiden 'care taker' kerana edah pemilihan Umno didakwanya sudah berlalu, dan ditangguhkan kerana menghadapi PRU 12, Mac lalu.
Kerisauan Ku Li disebabkan, klimaks pertandingan dalam Umno seperti sudah sampai apabila Pak Lah mengumumkan tarikh berundur. Walaupun Ku Li menyatakan hasratnya untuk terus menawarkan diri, banyak pihak berpendapat, sukar bagi bekas Menteri Kewangan dan Presiden Parti Melayu Semangat 46 ini mencukupi quota pertandingan.
Hujah yang diberikan, Ku Li selama ini seperti sudah terputus hubungan dengan ketua-ketua bahagian, lebih-lebih lagi dia tidak duduk dalam kabinet. Pergerakannya agak terbatas dan Ku Li dilihat rancak �berkempen� apabila selesai PRU 12, sambil menyatakan hasratnya mahu menawarkan diri bertanding jawatan Presiden.
Dalam tahun 2000, Ku Li pernah menawarkan diri bertanding salah satu kerusi naib Presiden, tetapi gagal mendapat cukup percalonan yang menyebabkan dia tidak layak bertanding.
Empat tahun kemudian, iaitu tahun 2004, Ku Li menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden tetapi tidak mendapat sokongan malahan, hanya Umno bahagian Gua Musang sahaja yang mencalonkannya yang sekaligus menyebabkan dia tidak layak bertanding.
Kali ini, ketika semua orang minat bercakap soal undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, tiba-tiba Ku Li dilihat cukup rajin ke sana ke mari, bertemu dengan ahli-ahli Umno di peringkat cawangan, sehingga menimbulkan kekecohan di sesetengah bahagian hingga menyebabkan Ku Li mengeluarkan kenyataan; "ada ketua bahagian menghalang ahli-ahli cawangan bertemu dengannya."
Apa yang menarik, ketika mengadakan pertemuan dengan Umno di Muar, yang melibatkan ahli-ahli dari bahagian Ledang, Bakri, Pagoh dan Muar, terdapat berita yang dilaporkan sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris, 25 cawangan dari Umno bahagian Pagoh mencadangkan Ku Li sebagai Presiden manakala Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai timbalan Presiden.
Justeru, jika dilihat perkembangan mutakhir, apabila Najib menadah tangan kegembiraan menyambut cadangan Pak Lah mahu pelan peralihan kuasa berjalan 23 bulan dari sekarang, Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh lebih sesuai beregu dengan Ku Li untuk berhadapan dengan Pak Lah dan Najib.
Cuma, ada sumber yang mengaku rapat dengan Najib dan Muhyiddin memberitahu, Muhyiddin lebih rela berdepan dengan Pak Lah dari berdepan dengan Najib. Maknanya, Muhyiddin tidak bersedia bertanding jawatan Timbalan Presiden jika Najib masih di situ.
Pada peringkat awal, Ku Li dikatakan berminat dengan Muhyiddin sebagai regunya untuk pertandingan ini.
Namun, atas nasihat seorang dua rakan-rakan Ku Li, akhirnya Ku Li berubah pendirian dengan menyebut Najib akan menjadi regunya dan bukan Muhyiddin.
Namun, Najib dilihat lebih selesa bersama Pak Lah daripada berganding dengan Ku Li. Muhyiddin pula, lebih selesa berketuakan Najib daripada Pak Lah atau Ku Li, apabila Ku Li juga tidak 'berminat' dengannya.
Jika Ku Li cukup percalonan, ramai yang meramalkan dia akan menang mudah mengalahkan penyandang jawatan. Tetapi banyak pihak pula menduga, Ku Li tidak mungkin cukup percalonan jika dia tidak mempunyai 'regu' yang kuat sebagai Timbalan Presiden!
Beberapa orang 'kaki sembang politik' berpandangan, Ku Li cukup sukar untuk mendapat sokongan 100 peratus dari seluruh 15 bahagian di Kelantan. Rata-rata, kepimpinan bahagian-bahagian di Kelantan masih setia dengan Pak Lah. Jika ada pun yang kurang 'mesra' dengan Pak Lah mereka dari kem Najib, bukan kem Ku Li.
Dulu, Ku Li ada seorang penyokong setia dalam Umno. Dato' Ibrahim Ali yang mengetuai Umno bahagian Pasir Mas. Namun, sekarang Ibrahim sudah berada di luar Umno dan Pasir Mas diketuai Dato' Abdul Rahim Abdul Rahman, orang kuat Najib.
Kalau bertanya orang yang di luar Umno, mereka lebih mahukan Ku Li menggantikan Pak Lah tetapi di kalangan ketua-ketua bahagian, mereka lebih mahukan Najib untuk dapat berpayung apabila Najib menjadi PM kelak. Ini bacaan mereka dan tiada siapa yang sanggup memperjudikan nasib menyokong secara terbuka Ku Li, yang memungkin mereka mengulangi nasib malang seperti tahun 1987, ketika Ku Li menentang Tun Dr. Mahathir.
Ada juga yang meramalkan, jika Najib bertindak menentang Pak Lah dengan regunya Muhyiddin, Pak Lah mungkin mengambil Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad sebagai regu. Ada juga yang meramalkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib mungkin sedia menjadi regu Pak Lah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Namun, banyak pihak berpendapat, antara Isa dengan Muhammad, Isa lebih popular. Cerita politik akan menjadi lebih menarik jika semua ini berlaku.
Siapa regu Ku Li jika jadi Najib melawan Pak Lah? Ada yang menyebut, Ku Li akan kembali ke pangkuan Dato' Seri Dr. Rais Yatim sudah sudah sekian lama meninggalkannya sejak Parti Melayu Semangat 46 dibubarkan. Rais adalah Timbalan Presiden ketika Ku Li menjadi Presiden S 46 dahulu.
Semua perkiraan ini, dibuat kerana situasi politik Umno masih belum begitu stabil. Ketika Pak Lah mengumumkan pelan peralihan kuasa, Najib dikatakan tidak dibawa berbincang sebaliknya hanya didedahkan ketika Mesyuarat MT berjalan. Najib mungkin serba salah untuk 'mempertahankan dirinya' kerana kebetulan Muhyiddin tidak menghadiri mesyuarat tersebut kerana berada di Osaka, Jepan.
Banyak pihak mendakwa, mereka sudah mendapat 'signal' mengarahkan mereka mencalonkan Najib sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai timbalan. Semua ini dilakukan oleh kumpulan Najib-Muhyiddin yang dikatakan sudah 'sepakat' mahu mengambil alih kepimpinan Umno, menjelang Disember.
Signal ini dikatakan dibuat kerana tiada langsung perbincangan antara Pak Lah-Najib mengenai pelan peralihan kuasa walaupun ada cakap-cakap yang mengatakan Pak Lah mahu terus menerajui Umno dan negara sehingga mencapai usia 70 tahun.
Strategi dan pelbagai tekanan yang dibuat ke atas Pak Lah akhirnya membuatkan Pak Lah terpaksa mengumumkan tarikh pengundurannya tetapi disambut dingin oleh Muhyiddin walaupun Najib kelihatan 'dapat menerima' pelan tersebut.
Paling malang, Ku Li kerana banyak pihak mengatakan, hasratnya menentang Pak Lah sudah tidak relevan lagi, malahan usaha-usaha Umno untuk berdamping rapat dengan beberapa parti pembangkang katanya akan tersekat jika Ku Li menjadi Presiden Umno.
Mereka menyebut, sejarah hitam S 46 dengan Pas mungkin menjadi titik hitam kepada usaha-usaha lain kerana semua sejarah ini memungkinkan parti-parti pembangkang tidak mungkin dapat 'membuat perbincangan' dengan Ku Li jika ada isu-isu kepentingan bersama.
Semua faktor ini diambil kira, walaupun Ku Li mungkin mendapat sokongan dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana pengaruh Dr. Mahathir di dalam Umno sekarang terlalu kecil, jika dibandingkan dengan nama-nama lain seperti Najib dan Muhyiddin.
Ketika Pak Lah menyediakan pelan menurunkan kuasa dan tugas-tugas kepada Najib, Ku Li pula perlulah terus berhempas pulas untuk menagih sokongan. Disebabkan hubungannya selama ini sudah semakin menjarak, bukanlah satu tugas mudah untuk dia menarik balik sokongan itu.
Malahan, ada di antara ketua-ketua bahagian, tidak pernah mengenali Ku Li walaupun mereka pernah mendengar Ku Li adalah bekas Menteri Kewangan dan bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
Berbeza dengan Najib dan Muhyiddin, kedua-duanya tidak pernah terputus berada di dalam hirerki Umno, walaupun pada suatu ketika Muhyiddin tewas di kerusi Naib Presiden. Namun, kedudukannya sebagai menteri, tidak pernah tercabut.
Laluan Ku Li sebenarnya semakin sukar tetapi dalam politik, ia bukanlah sesuatu yang mustahil. - mks. _
Sumber :http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=015758&Itemid=85
Tiada ulasan:
Catat Ulasan