Isnin, Mei 16, 2016

MANSOR PUTEH : SEMAN SEBUAH FILEM PERIBADI Oleh ANUAR NOR ARAI


Pengenalan

KEBENARAN memang kejam dan menghiris apabila yang gelap dan kelabu menjadi nyata, tambahan pula jika semua realiti terang dan jelas. Mengingati kembali apa yang  telah  tenggelam dalam sejarah,  mengajak kita menyusun waktu, tempat, kejadian dan  meluruskan segala-galanya mengikut kehendak dan rasa sendiri.

Kita meletakkan yang menyentuh hidup kita di barisan hadapan yang disusun dan cuba memahaminya dalam waktu yang sudah teranjak. Apabila zaman kanak-kanak ditinjau dari kaca mata orang dewasa, maka berubahlah perspektif zaman kanak-kanak itu masuk ke alam orang dewasa, melalui ingatan dan tafsiran yang membuka alam masa lampau sebagai sebuah diari bertulis tangan yang comot dan terperosok di sudut rumah yang tinggal dan terbiar.

Zaman pembesaran ialah zaman mengutip sejarah diri sendiri, membuka tirai hati dan intelek,serta memberikan warna sama ada pudar atau berseri-seri.

Meninjau ke dalam diri adalah mencari diri dan mengenal kembali zaman suci yang sudah jauh tercicir melalui waktu. Memahami zaman tumbesaran bukan perkara remeh. Ia satu tugas yang mulia. Dunia yang sarat yang berlonggok dalam akal dan fikiran zaman kanak-kanak perlu dibuka luas supaya senak, sesak, semput yang terselaput begitu  lama dapat dibuka bendungannya.

Tiada makna yang cuba ditimbulkan daripada kebenaran yang dicari untuk mengapungkan yang terbenam dan tersimpan menjadi laluan dan rentasan baharu bagi diri sendiri. Ia adalah jalan pulang yang sempit ke dalam diri untuk membangunkan tenaga kental diri sendiri dengan berani dan tidak mahu beralah.

Apa yang berada dalam ingatan terputus-putus berkelompok, berkabus, kabut dan pudar, bergerak, laju, stasis, gelap, berlingkar-lingkar dan sentiasa muda.

Waktu tidak hanya dituntut dengan takwim malahan dengan emosi dan intelek.

Filem Seman hasil kerja Mansor Puteh membawa kita kealam rekonstruksi diri sendiri langsung dan tulen dan kandungan hidup itu sungguh menyentuh daripada pandangan dan renungan sendiri.

Mansor berkongsi realiti hidup dengan watak-watak yang bermain dalam ceritanya.

Apa yang paling ketara menyentuh dalam Seman ialah cara dan gaya Mansor menjemput kembali seluruh kenangan zaman kanak-kanak dan remajanya secara bebas dan terbuka dengan  imej ibu, bapa, rakan-rakan lelaki dan perempuan pada waktu dan tafsiran dirinya yang mudah dan langsung. Apa yang menyeronokkan dan tidak terlalu kecil di sekitar dirinya serta disentuh dengan lembut.

Mansor menguji semula kedudukan dirinya dengan persekitaran masa lampaunya secara lembut kerana bagi Mansor waktu lalu itu adalah impresif yang kekal dan tidak dilindungi. Waktu tidak dapat mengelakkan cerita dan kisah. Kehidupan tidak akan hilang misterinya.

Cerita Seman meletakkan nasib halaman demi halaman, langkah demi langkah untuk disalah sangka kerana kebenarannya. Mansor membawa Seman berjalan di atas waktu yang lurus, langsung dan benar.

Kejujuran Mansor dalam Seman tidak dilukis dengan indah. Wajah-wajah yang hadir di layar besar adalah kesedaran dimasa muda yang dinilai semula, lembut, langsung, yang berkongsi; bahawa kesedaran terhadap masa lampau itu mengikat betapa seronok “kita bersama semula”.

Mungkin Mansor mencari kembali tempat-tempat di sekitar Melaka di mana sejarah hidupnya bermula. Persekitaran rumah, halaman, taman kecil, kebun getah, tepi longkang besar, bandar kecil, pondok telefon, jalan kampung, dan ruang bermain teater seluruhnya adalah himpunan kenangan yang kasar dan tidak ditapis langsung, seolah-olah sudut dan kedudukan yang dilahirkan oleh Mansor melalui imej filem tidak dianjakkan dengan keindahan.

Apa yang kasar dan tidak teratur, comot dan capuk, yang langsung itulah magnetik dalam Seman. Apa yang tersusun di lapisan bawah ingatan dan kenangan ialah kebenaran yang berada dalam tulang tubuhnya. Dia tidak menipu realiti.
Mansor mencipta kembali kenangan secara langsung dengan pendekatan fotografi secara langsung. Mansor perlu melukis baris lurus untuk mendengar ceritanya sendiri. 

Terlalu banyak yang tercicir, terlalu banyak yang remeh yang ditinggalkan oleh Mansor, tetapi apa sahaja yang terkutip daripada kenangannya dalam Seman adalah magikal bagi Mansor.

Waktu itu berbau bagi yang tahu, dan baunya berbeza dengan bau orang lain. Mansor membawa kita ke dalam Seman untuk mengenal alam yang terlalu kecil dan sempit itu secara terbuka dan tidak bercahaya.

Mansor  begitu bersungguh-sungguh mengembalikan kesan zaman kanak-kanak dan remajanya secara langsung dan terus. Itulah kemarahan dan keghairahan Mansor. Dia percaya bahawa perwakilan ialah aksi sinematografi dan boleh mengoyakkan ritma dan tempo dan mencipta sesuatu yang baharu.

Dia tidak mahu mencipta realiti baharu. Dia cuba mengikuti jejak ingatan yang pernah dilaluinya, bertemu dengan kesan-kesan lama “seperti yang ada” dan tidak menyentuhnya supaya lebih hebat. Dia tidakmahu keadaan itu berlaku.

Oleh sebab itu dalam Seman, Mansor menggunakan pendekatan sinematografi yang tulen serta komponen audiovisual yang tulen dan beliau tidak mahu sesuatu yang misteri lahir daripada sinematografi dan bunyi. Semuanya cukup dengan memadai dengan kadar dan ukuran yang difikirkan koresponden dengan zaman kanak-kanak dan remajanya.

Mansor tidak terikat dengan keindahan latar, tidak memaksa mencari perspektif supaya sudut dan komposisi imejnya organik dan dialektik, atau bermain dengan tata cahaya supaya yang menonton zaman kanak-kanak dan remajanya tertipu dengan yang indah. Mansor tidak mencari pelakon yang cantik dan mengiurkan untuk Seman.

Fotografi Mansor kering, langsung. Apa yang diluahkan daripada ingatannya tidak indah, maka fotografinya turut tidak indah. Apa yang dicari oleh Mansor ialah bentuk tulen yang terbuka dan terdedah di depan matanya dalam ruang dan jarak yang hidup dalam akalnya.


Daripada apa yang dilakukan oleh Mansor kita merasakan pemberontakan kecil dalam dirinya yang jauh tenggelam dalam seksa fizikal dan batin bahawa penipuan dan pembohongan dalam kehidupan biasa manusia sudah tidak terbendung lagi. 

Dan Mansor membendungnya dengan sungguh-sungguh dalam SemanMansor sangat jijik pada hipokrasi.