Pengenalan
KEBENARAN memang kejam dan menghiris apabila yang gelap dan kelabu menjadi nyata,
tambahan pula jika semua realiti terang dan jelas. Mengingati kembali apa
yang telah tenggelam dalam sejarah, mengajak kita menyusun waktu, tempat,
kejadian dan meluruskan segala-galanya
mengikut kehendak dan rasa sendiri.
Kita
meletakkan yang menyentuh hidup kita di barisan hadapan yang disusun dan cuba
memahaminya dalam waktu yang sudah teranjak. Apabila zaman kanak-kanak ditinjau
dari kaca mata orang dewasa, maka berubahlah perspektif zaman kanak-kanak itu
masuk ke alam orang dewasa, melalui ingatan dan tafsiran yang membuka alam masa
lampau sebagai sebuah diari bertulis tangan yang comot dan terperosok di sudut
rumah yang tinggal dan terbiar.
Zaman
pembesaran ialah zaman mengutip sejarah diri sendiri, membuka tirai hati dan intelek,serta
memberikan warna sama ada pudar atau berseri-seri.
Meninjau ke
dalam diri adalah mencari diri dan mengenal kembali zaman suci yang sudah jauh
tercicir melalui waktu. Memahami zaman tumbesaran bukan perkara remeh. Ia satu
tugas yang mulia. Dunia yang sarat yang berlonggok dalam akal dan fikiran zaman
kanak-kanak perlu dibuka luas supaya senak, sesak, semput yang terselaput
begitu lama dapat dibuka bendungannya.
Tiada makna
yang cuba ditimbulkan daripada kebenaran yang dicari untuk mengapungkan yang
terbenam dan tersimpan menjadi laluan dan rentasan baharu bagi diri sendiri. Ia
adalah jalan pulang yang sempit ke dalam diri untuk membangunkan tenaga kental
diri sendiri dengan berani dan tidak mahu beralah.
Apa yang
berada dalam ingatan terputus-putus berkelompok, berkabus, kabut dan pudar,
bergerak, laju, stasis, gelap, berlingkar-lingkar dan sentiasa muda.
Waktu tidak
hanya dituntut dengan takwim malahan dengan emosi dan intelek.
Filem Seman hasil kerja Mansor Puteh membawa
kita kealam rekonstruksi diri sendiri langsung dan tulen dan kandungan hidup
itu sungguh menyentuh daripada pandangan dan renungan sendiri.
Mansor
berkongsi realiti hidup dengan watak-watak yang bermain dalam ceritanya.
Apa yang
paling ketara menyentuh dalam Seman
ialah cara dan gaya Mansor menjemput kembali seluruh kenangan zaman kanak-kanak
dan remajanya secara bebas dan terbuka dengan
imej ibu, bapa, rakan-rakan lelaki dan perempuan pada waktu dan tafsiran
dirinya yang mudah dan langsung. Apa yang menyeronokkan dan tidak terlalu kecil
di sekitar dirinya serta disentuh dengan lembut.
Mansor
menguji semula kedudukan dirinya dengan persekitaran masa lampaunya secara
lembut kerana bagi Mansor waktu lalu itu adalah impresif yang kekal dan tidak
dilindungi. Waktu tidak dapat mengelakkan cerita dan kisah. Kehidupan tidak
akan hilang misterinya.
Cerita Seman meletakkan nasib halaman demi
halaman, langkah demi langkah untuk disalah sangka kerana kebenarannya. Mansor
membawa Seman berjalan di atas waktu yang lurus, langsung dan benar.
Kejujuran Mansor
dalam Seman tidak dilukis dengan indah.
Wajah-wajah yang hadir di layar besar adalah kesedaran dimasa muda yang dinilai
semula, lembut, langsung, yang berkongsi; bahawa kesedaran terhadap masa lampau
itu mengikat betapa seronok “kita bersama
semula”.
Mungkin
Mansor mencari kembali tempat-tempat di sekitar Melaka di mana sejarah hidupnya
bermula. Persekitaran rumah, halaman, taman kecil, kebun getah, tepi longkang
besar, bandar kecil, pondok telefon, jalan kampung, dan ruang bermain teater seluruhnya
adalah himpunan kenangan yang kasar dan tidak ditapis langsung, seolah-olah
sudut dan kedudukan yang dilahirkan oleh Mansor melalui imej filem tidak
dianjakkan dengan keindahan.
Apa yang
kasar dan tidak teratur, comot dan capuk, yang langsung itulah magnetik dalam Seman. Apa yang tersusun di lapisan
bawah ingatan dan kenangan ialah kebenaran yang berada dalam tulang tubuhnya.
Dia tidak menipu realiti.
Mansor
mencipta kembali kenangan secara langsung dengan pendekatan fotografi secara
langsung. Mansor perlu melukis baris lurus untuk mendengar ceritanya sendiri.
Terlalu banyak yang tercicir, terlalu banyak yang remeh yang ditinggalkan oleh
Mansor, tetapi apa sahaja yang terkutip daripada kenangannya dalam Seman adalah magikal bagi Mansor.
Waktu itu
berbau bagi yang tahu, dan baunya berbeza dengan bau orang lain. Mansor membawa
kita ke dalam Seman untuk mengenal
alam yang terlalu kecil dan sempit itu secara terbuka dan tidak bercahaya.
Mansor begitu bersungguh-sungguh mengembalikan kesan
zaman kanak-kanak dan remajanya secara langsung dan terus. Itulah kemarahan dan
keghairahan Mansor. Dia percaya bahawa perwakilan ialah aksi sinematografi dan
boleh mengoyakkan ritma dan tempo dan mencipta sesuatu yang baharu.
Dia tidak
mahu mencipta realiti baharu. Dia cuba mengikuti jejak ingatan yang pernah
dilaluinya, bertemu dengan kesan-kesan lama “seperti
yang ada” dan tidak menyentuhnya supaya lebih hebat. Dia tidakmahu keadaan
itu berlaku.
Oleh sebab
itu dalam Seman, Mansor menggunakan
pendekatan sinematografi yang tulen serta komponen audiovisual yang tulen dan
beliau tidak mahu sesuatu yang misteri lahir daripada sinematografi dan bunyi.
Semuanya cukup dengan memadai dengan kadar dan ukuran yang difikirkan
koresponden dengan zaman kanak-kanak dan remajanya.
Mansor tidak
terikat dengan keindahan latar, tidak memaksa mencari perspektif supaya sudut
dan komposisi imejnya organik dan dialektik, atau bermain dengan tata cahaya
supaya yang menonton zaman kanak-kanak dan remajanya tertipu dengan yang indah.
Mansor tidak mencari pelakon yang cantik dan mengiurkan untuk Seman.
Fotografi
Mansor kering, langsung. Apa yang diluahkan daripada ingatannya tidak indah,
maka fotografinya turut tidak indah. Apa yang dicari oleh Mansor ialah bentuk
tulen yang terbuka dan terdedah di depan matanya dalam ruang dan jarak yang
hidup dalam akalnya.
Daripada apa
yang dilakukan oleh Mansor kita merasakan pemberontakan kecil dalam dirinya
yang jauh tenggelam dalam seksa fizikal dan batin bahawa penipuan dan
pembohongan dalam kehidupan biasa manusia sudah tidak terbendung lagi.
Dan
Mansor membendungnya dengan sungguh-sungguh dalam Seman. Mansor sangat jijik pada hipokrasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan