Memaparkan catatan dengan label Belasungkawa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Belasungkawa. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 22, 2011

AZIZI ABDULLAH KEMBALI KE RAHMATULLAH, AL-FATEHAH...

Novelis Azizi Abdullah meninggal dunia




GEORGE TOWN – Novelis terkenal, Azizi Abdullah (gambar) meninggal dunia pagi semalam setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang sejak 11 Ogos lepas.

Penolong Editor Utusan Pengguna, Mohd. Ridzuan Mohamad ketika dihubungi berkata, Azizi, 69, meninggal dunia pukul 7.50 pagi di hospital itu.

Ahad, Julai 26, 2009

YASMIN AHMAD MENINGGAL SELEPAS OPERATION BUANG DARAH BEKU DIKEPALA...



KUALA LUMPUR - Pengarah filem dan iklan terkenal, Yasmin Ahmad (gambar) yang mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak sejak Khamis lepas meninggal dunia malam tadi.
Yasmin, 51, kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 11.30 malam di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya selepas tiga hari berada dalam koma setelah menjalani pembedahan membuang darah beku di kepalanya.
Yasmin yang terkenal sebagai pengarah filem Sepet, Gubra dan Talentime rebah secara tiba-tiba semasa bermesyuarat bersama penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa serta beberapa kakitangan Media Prima di Sri Pentas, TV3, sekitar pukul 3 petang Khamis lalu.
Beberapa jam sebelum itu, adik iparnya, Datuk Dr. Zakaria Zahari memberitahu media, Yasmin masih menerima bantuan alat sokongan hayat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pakar Damansara.

TERKINI : YASMIN AHMAD MENINGGAL DUNIA! innalilahi wa ina ilahi rajiuun...

Al-Fateha...


Pengarah filem dan iklan yang terkenal Yasmin Ahmad, 51, telah meninggal dunia setelah dilaporkan tenat awal malam ini.Pemergian Yasmin, seorang pengarah yang mengangkat perfileman negara mutakhir ini bersama kontroversinya sendiri, diumumkan dalam berita tengah malam TV3 sebentar tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira 11.25 malam ini di Hospital Pakar Damansara, lapor Bernama, yang memetik pengesahan daripada ketua pegawai operasi Media Prima, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di situ.

Khamis lalu, Yasmin dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital swasta itu setelah diserang angin ahmar kira-kira jam 4.30 petang di stesen TV3.Beliau waktu itu berada di Sri Pentas untuk berjumpa dengan Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan suaminya Datuk Khalid Jiwa apabila beliau dilaporkan menghadapi kesukaran bernafas dan pengsan.Siti Nurhaliza, duta Persatuan Bulan Sabit Malaysia, dilaporkan turut memberikan bantuan penafasan (CPR) kepada Yasmin bersama dengan seorang doktor panel stesen tersebut.
Di hospital pakar itu, para doktor dilaporkan berjaya menstabilkan beliau sebelum membuat pembedahan otak kira-kira jam 6 petang hari yang sama.Filem-filemnya Sepet, Gubra dan Mukhsin cukup terkenal, termasuk di di luar negara dan menggondol beberapa anugerah di beberapa festivel filem antarabangsa seperti di Berlin, San Francisco, Singapura dan Cannes.

Jumaat, Mei 02, 2008

Perginya Seorang Tokoh Automotif Melayu Terbilang...Al-Fatehah.

(Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin sedang mencuba sebuah motosikal keluaran Naza Motor.)


Pengasas kumpulan Naza meninggal dunia di Los Angeles

02/05/2008 11:05am

WASHINGTON 2 Mei - Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri S.M Nasimuddin S.M Amin meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Khamis pagi di Los Angeles, California.
Nasimuddin, 53 yang juga Ketua Pegawai Eksekutif konglomerat itu, menerima rawatan penyakit kanser di sebuah hospital swasta di Long Beach sejak Januari tahun ini, kata Konsul Malaysia Ahmad Asmawi memberitahu Bernama melalui perbualan telefon dari Los Angeles.


Ahmad berkata isteri Nasimuddin, Puan Sri Zaleha Ismail dan anak-anak mereka berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan Khamis pagi.

Persatuan Islam Malaysia Amerika Utara akan menguruskan penghantaran jenazah beliau ke Malaysia dan mengadakan solat jenazah di Pusat Islam.

Jenazah Allahyarham akan diterbangkan ke Malaysia dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH 94 pada pukul 1.40 pagi Sabtu pagi, kata Ahmad. - Bernama


Rabu, April 23, 2008

Tulisan Terakhir Pak Rustam sebelum pergi menghadap Tuhan...



Dua buah buku baru Pak Rustam yang sepatutnya dilancarkan oleh Anwar Ibrahim pada Sabtu ini, 26 April 2008 pada pukul 3 petang; bertempat di Seminar Hall, Perpustakaan Raja Tun Uda (The Selangor Public Library), Persiaran Bandaraya, Shah Alam. Namun Allah lebih menyayanginya... Al-Fatehah.

Mahathir lagi: Bilakah semua ini akan reda?
Oleh Rustam A Sani
Selasa, 22 April 2008


SAYA benar-benar kagum akan Mahathir, khususnya terhadap kemampuan dan kedegilannya untuk menyatakan pandangannya.
Dia akan terus berkata-kata, meskipun sudah tidak ada lagi orang yang mau mendengar pandangannya itu – kecuali mungkin beberapa orang yang mau memperalatkannya sebagai sumber "pendapat" bagi maksud tertentu – untuk menyerang Abdullah Badawi, misalnya.
Dan bagi tahap umurnya, tenaga Mahathir memang luar biasa. Suaranya masih lantang, sebutannya masih jelas – meskipun daya ingatannya ternyata sudah kabur (banyak yang tidak diingatnya atau sudah tersalah ingat), daya analisisnya sudah longgar, rasa hormatnya terhadap lojika, etika, maupun kebenaran jelas sudah berkecai.
Namun, bagi saya, apa yang lebih menakjubkan ialah masih banyak antara kita yang masih sanggup mendengar racauannya itu. Oleh itu, bila Mahathir akan diwawancara untuk rancangan "Hard Talk" baru-baru ini saya menjadi kebanjiran dengan pesanan SMS maupun posting blog tentangnya.
Memanglah Mahathir merupakan seorang yang degil, yang tidak puas-puas meracau di mana sahaja. Dia akan berceramah di majlis ceramah anjuran PROWARIS atau bahagian-bahagian Umno yang tertentu, berdebat dalam forum anjuran laman blog MyKMU, ditemuramah oleh Malaysiakini.com, malah menulis kata pengantar untuk buku Dr. Collin Abraham.
Tidak ada sesuatu yang baru dalam apa yang diperkatakannya, namun orang tetap akan mendengar malah melaporkannya kembali di tempat lain, di muka akhbar maupun di laman blog. Tidak ada yang mendalam atau profound dalam analisisnya, namun masih banyak yang menganggap kata-katanya sebagai semacam mutiara ilmu.
Dan inilah yang menakjubkan saya. Apakah yang menarik tentang Mahathir ini: mutiara ilmu yang keluar dari mulutnya atau sekadar personanya? Dan apakah yang menarik tentang persona itu – auranya atau sekadar latarbelakang dirinya yang pernah menjadi ahli politik yang memberontak terhadap establishment Umno tetapi kemudiannya bertukar menjadi establishment itu sendiri yang amat menindas?
Baru-baru ini Mahathir tampaknya telah berhasil pula menjaja misteri dirinya itu ke luar negara. Dia sanggup ditemuramah di ruangan "Hard Talk" BBC yang terkenal kerana soalan-soalan mendalam lagi kasar terhadap sesiapa sahaja – khususnya para pemimpin negara dunia ketiga.
Mahathir memang tahu tentang reputasi rancangan Hard Talk itu, namun naluri dan semangatnya untuk terus berkata-kata itu ternyata tidak akan dapat diredakan. Otot di sekeliling mulutnya yang overdeveloped itu tampaknya tidak akan dapat dilemahkan.
Satu sifat dan sahsiah Mahathir yang asasi sehubungan dengan nalurinya yang mau terus berkata-kata ini ialah sifatnya yang combative – yakni dia akan menyerang bila dia mendapati dirinya terdesak oleh serangan orang lain khusus pihak yang mempersoalkan kredibiliti hujah dan kata-katanya.
Dan apabila Mahathir mulai menyerang, dia akan melakukannya secara dogged (hantam keromo, membujur lalu melintang patah). Bila Mahathir menyerang, maka jelaslah terserlah sifatnya yang samasekali tidak menghormati dan mengendahkan kebenaran, fakta, logika atau malah urutan dan tertib hujah yang siuman.
Saya telah melihat perkara ini berlaku beberapa kali sewaktu Mahathir diwawancara oleh media antarabangsa (Mahathir dalam nada prasangkanya sendiri akan mengatakannya "media barat").
Beberapa tahun lalu, sewaktu Mahathir ditemuramah oleh Zain Verge dari CNN, bila dia didesak dengan soalan-soalan yang hangat dan pedas, dia akan segera menjadi combative – menuduh sipenemuramah itu sebagai mewakili prasangka "orang putih" yang senantiasa memandang rendah terhadap orang kulit berwarna seperti dirinya.
Hakikat yang tidak diendahkan Mahathir ialah hakikat Zain Verge merupakan seorang wanita keturunan Pakistan yang dibesarkan di Afrika – hanya kulitnya sedikit cerah berbanding Mahathir.
Kali ini sewaktu menghadapi asakan soalan-soalan panas dari Stephen Sackur, hos rancangan Hard Talk ini, huraian Mahathir tentang prasangka orang Barat terhadap orang pribumi kita tampaknya diasaskan pada ikhtisar pandangan beberapa tokoh pegawai penjajah British satu dua abad lalu seperti Swettenham, Winstedt.
Pandangan berprasangka seperti itu sebenarnya sudah tidak kedengaran lagi hari ini, dan malah hujah seperti yang dikemukakan oleh Mahathir itu juga sejak lama sudah tidak digunakan lagi oleh para pembahas dan sarjana anak negeri. Namun demikianlah adanya vintage Mahathir: dia tidak teragak-agak menggunakan hujah dan mauduk dari dua abad lalu untuk memenangi perdebatan hari ini.
Mahathir agak beruntung bila berhadapan dengan para wartawan seperti Zain Verge dan Sackur itu. Mereka ini sebenarnya tidak begitu tahu tentang realiti politik di Malaysia, oleh itu tidak dapat terus bertanya (probing) bila Mahathir memberikan reaksi yang sebenarnya tidaklah seratus peratus tepat.
Huraiannya, misalnya, tentang penyingkiran para hakim, tentang pita V. K. Lingam, tentang keadilan yang diterima Anwar dari sistem kehakiman Malaysia sudah pasti akan mengundang asakan yang malah lebih kuat lagi dari seorang wartawan yang lebih tahu tentang Malaysia berbanding Zain maupun Sackur.
Namun Mahathir, bagi saya, tetap merupakan seorang watak awam yang bijak lagi licik. Dia pandai menggunakan segala macam helah dan permainan citra untuk mempertahankan dirinya dan mengelirukan para pendengarnya. Sebab itulah setiap gerak geri maupun kata-katanya akan menarik perhatian, meskipun tidak terdapat barang seurat ketulusan maupun kebijaksanaan dalam penampilan citra dan cendekianya itu.Bilakah permainan penampilan dirinya yang penuh helah ini akan reda – demi menjaga kewarasan dan kesehatan minda (mental hygiene) masyarakat kita sendiri?

Belasungkawa - Allahyarham Rustam A. Sani (kupasan politik terakhir...)

Parti-parti lawan diperalatkan lagi 'demi kepentingan Melayu'?
Oleh Rustam A. Sani
Jumaat, 18 April 2008


SEWAKTU membaca berita tentang inisiatif untuk mengadakan perbincangan di kalangan "parti-parti Melayu" bagi membincangkan isu-isu perpaduan dan kepentingan Melayu baru-baru ini, entah kerana apa saya sedikitpun tidak merasa terperanjat.

Malah saya memang telah menjangkakan hal yang demikian akan berlaku, memandangkan bahawa telah menjadi suatu pola perlakuan politik di negara ini kini untuk Umno akan mengambil inisiatif (malah berusaha keras) untuk memujuk parti-parti dominan Melayu lainnya supaya bekerjasama bagi "menyelamatkan bangsa Melayu."

Jelaslah, Umno biasanya akan memperalatkan isu "kepentingan Melayu" apabila parti itu menghadapi kemerosotan sokongan – dan untuk itu parti itu atau tokoh-tokoh tertentu parti itu akan sanggup merayu parti-parti lain yang dalam keadaan biasa akan dikutuk, dihina dan dicercanya.

Yang mengambil inisiatif melakukan risikan (overtures) demikian kali ini adalah Norza Zakaria, seorang ahli Majlis Tertinggi Umno. Dan jika laporan dalam NST boleh dipercayai, beliau tampaknya telah berjaya memancing reaksi yang agak positif dari dua tokoh PAS dan PKR.

Khabarnya, mereka bertiga akan mulai mengadakan perbincangan secara tidak rasmi minggu ini juga.

Saya tidaklah begitu mengenali Norza Zakaria. Sepanjang pengetahuan saya, beliau sejak lama telah memainkan peranan sebagai "pengiring" (atau sidekick) Khairy Jamaluddin.

Dalam kemelut perebutan jawatan yang kini sedang bergelora dalam Pergerakan Pemuda Umno, Norza telah memperlihatkan minatnya untuk menawarkan diri menjadi calon Ketua – sehingga dia baru-baru ini telah menyebarkan bahan kempen dan puisi (ciptaannya?) kepada bahagian-bahagian parti itu.

Tindak tanduk Norza dalam memperalatkan parti-parti lawan dan gagasan "kepentingan" Melayu ini amat mengingatkan saya akan tindak tanduk Dr Mahathir sekitar tahun 1999-2000 – ketika Umno mengalami pukulan teruk dalam PRU-10 dan Dr Mahathir berusaha memulihkan sokongan terhadap dirinya di kalangan orang Melayu.

Malah puncak kejayaan Dr Mahathir menjebak kerjasama pimpinan PAS – lewat suatu perhimpunan bersama tentang Palestin di Dewan Bahasa dan Pustaka – mempunyai dimensi politik antarabangsa dan hubungan dengan kuasa besar (yakni pertemuan Dr Mahathir dengan Bush yang telah diatur melalui perantara dengan sogokan berjumlah berjuta dolar).

Pada waktu itu, kerana yang kuat hanyalah PAS sedangkan kekuatan PKR dipandang remeh oleh Dr Mahathir, maka hanya PAS yang telah menjadi sasaran overture Umno. Para pemimpin PKR yang menghadiri perhimpunan di DBP itu malah telah diletakkan di suatu pojok yang hampir tidak dipedulikan Dr Mahathir.
Tetapi kini, kerana PKR ternyata lebih kuat berbanding dulu, maka inisiatif Norza itu telah melibatkan PKR pula – malah melibatkan seorang tokoh besarnya, Naib Presiden Azmin Ali.

Risikan Mahathir pada tahun 1999-2000 itu sebenarnya bukanlah risikan terakhir. Telah bertiup kabar-kabar angin bahawa overtures yang sama terhadap PAS telah berlaku sebelum berlangsungnya PRU-12 baru-baru ini.

Malah selepas PRU-12 berakhir, dikatakan memang ada percubaan oleh beberapa pemimpin Umno yang penasaran untuk memikat, menggoda, malah menjebak PAS untuk menyertai Umno dalam membentuk kerajaan campuran di beberapa negeri – dan kononnya pula memang ada tokoh PAS yang dikatakan sudah hampir tergoda.

Oleh kerana pengalaman PAS yang lebih banyak dari segi "digoda" Umno ini, maka memang terdapat beberapa pemimpin PAS yang sering dianggap umum sebagai lebih cenderung untuk tergoda. Dikatakan juga bahawa mungkin sikap Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang, yang tegas lagi konsisten dalam hal ini yang telah "menyelamatkan" PAS daripada terjerumus.

Berdasarkan hakikat ini, maka saya tidaklah terperanjat jika di kalangan para pemimpin PAS terdapat beberapa tokoh yang akan menjadi sasaran overtures para pemimpin Umno yang ingin memperalatkan isu kepentingan Melayu itu. Saya juga tidak akan terperanjat jika tokoh-tokoh tersebut akan senantiasa memberikan tindakbalas yang positif terhadap risikan dan bujukan Umno itu.

Namun demikian, sebagai "dara" yang pertama kali coba digoda – sedangkan selama ini dicerca dan dihina – respons yang sama positifnya dari kalangan pemimpin PKR terhadap godaan Umno ini bagi saya amatlah memeranjatkan – malah amat mengecewakan.

Bagi saya, isu yang perlu difahami oleh para pemimpin PKR bukanlah sekadar persoalan menghadiri sebuah mesyuarat bagi membincangkan suatu persoalan yang tidak dianggapnya berbahaya, seperti isu kesepaduan Melayu dan kepentingan Melayu itu.


Sedangkan mesyuarat itu sendiri, samalah seperti persidangan tajaan Abim di DBP pada zaman Mahathir itu, menurut hemat saya secara sedar sudah dijadikan cara untuk memperalatkan parti-parti lawan dan isu Melayu demi kepentingan dan survival Umno sendiri.

Bagi PKR, dalam kerangka "politik baru" dan gagasan Agenda Ekonomi Malaysia, konsep kepentingan Melayu dalam konteks gagasan masyarakat dan negara adil pelbagai kaum mestilah berlainan – dan kerana itu sukar dijambatani – dengan gagasan kepentingan Melayu yang bersifat perkauman yang diwarisi dan diteruskan Umno dari perspektif masyarakat majmuk ciptaan sejarah kolonial itu.

Jika gagasan kepentingan Melayu Umno yang telah dituangkannya ke dalam acuan dan kerangka pemikiran dan amalan DEB yang tidak adil itu sebenarnya dapat dijambatani dengan pemikiran baru yang sedang digubal dan dibentuk dalam PKR, maka apakah perlunya pemimpin besar PKR, Anwar Ibrahim, bermati-matian berusaha melahirkan gagasan Pakatan Rakyat yang menjanjikan suatu kelainan asasi daripada Umno dan BN?

Dengan membiarkan dirinya terjebak dalam overtures yang kononnya sekadar tertumpu kepada usaha mengadakan sebuah mesyuarat informal itu, PKR – dan malah PAS juga – sebenarnya telah membiarkan dirinya terjebak untuk menerima acuan pemikiran Umno yang dangkal lagi ketinggalan zaman dalam memperkatakan dan memahami isu-isu keadilan sosial dan pembinaan negarabangsa.

Sejak dulu lagi, saya sebenarnya selalu merasa hairan dan kaget mendapati sesetengah para pemimpin parti pembangkang di negara ini yang menjadi begitu excited setiap kali mereka didatangi maupun dihubungi oleh pihak-pihak tertentu dalam Umno untuk membincangkan isu-isu seperti "kepentingan Melayu" ini.

Excitement itu sekurang-kurangnya dapat saya fahami dalam keadaan Umno/BN amat kuat sedangkan kita sendiri lemah dan tertindas. Tetapi dalam keadaan seperti sekarang – ketika kita mendapat sokongan rakyat banyak dan Umno sedang kucar kacir, maka apakah penjelasannya? Mungkinkah kedangkalan dan kecetekan cendekia kita sendiri?


Rustam A Sani merupakan penganalisis politik terkenal tanahair. Rencana ini ditulis untuk tatapan pembaca KLpos.com. Bagi pihak pembaca, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Rustam A Sani.- Pengarang

SUMBER: KLpos