Memaparkan catatan dengan label free writing. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label free writing. Papar semua catatan

Khamis, Julai 17, 2008

Surat kepada John Melawi...

Ini adalah catatan yang baru saya kirim kepada seorang kenalan blog yang bernama John Melawi.Respon pantas kepada apa yang disiarkan didalam blognya. Turut diulang tayang kembali disini. Sekadar tatapan latihan berfikir. Ini dia:

Assalamualaikum.

Adikku John Melawi yang dikasihi,

Tertipu atau tidak, abang ingin beritahu mu ini:

1) Allah swt. itu Maha Pengampun, Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang. Rahmat NYa mengatasi Kemarahan Nya. titik.


2) Islam itu tertegak dengan kepercayaan yang kuat "TUHAN ITU ESA (satu)." Dan apa yg dibawa oleh seorang manusia bernama Muhammad bin Abdullah (Al-Qur'an) semuanya adalah BENAR. Tiada yg tidak benar melainkan benar. Mati itu benar. Kubur itu benar. Hari Pembalasan juga benar. titik.


3) Kita ini manusia. Banyak sekali kelemahan. Hari -hari berbuat silap. Tapi itu bukan bermakna kita bebas berbuat seperti BINATANG semahunya. Maka buatlah kebaikkan walau sedikit. Kebaikan menggunakan akal adalah perbezaan kita dengan binatang. Manusia tidak boleh bebas semua. Jadi kesimpulannya BEBAS MUTLAK ADALAH HAK BINATANG. Jadi manusia itu tertegak dengan MORAL YANG TINGGI. Itu kata ahli falsafah Yunani Kuno bernama Yang Mulia SOCRATES & PLATO. titik.


Yang terakhir tidak bernombor. Nasihat abang, kamu akan MENGENAL TUHAN JIKA KAMU BENAR-BENAR INGIN MENCARI. Nasihat Ku carilah dengan Akal, Tauhid, & Buku-Buku Berat yang SAH. Abg juga dalam proses mencari KEBENARAN TUHAN.

Hisaplah rokok jika kamu tidak mampu berhenti. (Jika mampu bermakna kamu lebih berjaya daripada diriku)

Tapi jangan sesekali ABAIKAN SOLAT. Solat itu logik pemikiran.

Ini kata-kata terakhir ku:

"ISLAM ITU LOGIK. LOGIK ITULAH KEBENARAN"

(tapi harus diri mu ingat; ia bukanlah pula logik berdasarkan pemahaman mu sendiri-sendiri. Harus dirujuk dengan akal dan kepada tafsiran ulama IMAM BESAR 4 MAZHAB).

Jangan ikut Wahhabi.

Wassalam.

Yang Mencari Jalan Pulang,
Abang Moderator Indie.

Ahad, Jun 22, 2008

h.i.b.e.r.n.a.s.i dan Dr. Kassim Ahmad

Jangan baca buku ini jika anda tidak mempunyai tradisi diskusi yang tinggi dan tidak pernah terdedah kepada kitab-kitab hadis dan imam-imam mazhab. Supaya daya analsis berfikir dapat mencerna dengan lebih adil, liberal, berani, dan saintifik. Akhirnya 'kebenaran' adalah destinasi terakhir. Jika tidak, lupakan sahaja untuk mendapatkan sesuatu yang terlalu 'bagus' daripada minda seorang pemikir kontemporari seperti Dr. Kassim Ahmad. Ingat itu!


H.i.b.e.r.n.a.s.i.


Itulah keadaan MODERATOR. Penat. Beku. Malas.

Banyak berfikir langsung jadi tidak produktif. Jangan tanya mengapa. Mungkin itu satu kesan refleksi normal. Blogger yang blognya telah menjangkau hampir 3 tahun pasti sahaja telah melalui sindrom hilang upaya ini.


Menulis setiap hari bukan mudah sebetulnya (kecuali kalau tulis benda-benda merapu). Jalan mudah ialah 'copy and paste' artikel-artikel yang bersepah diinternet dan 'publish' dalam blog sendiri. Saya bukan tak boleh buat kerja-kerja bagus macam itu. Cuma tak mahu buat.

Proses hibernasi ini berlaku dalam sebulan lebih.

Jadi saya dapat membaca secara lebih 'BEBAS'...berserta syahwat yang agak besar.

Lalu saya mula membaca sebuah buku genre biografi buah pukulan terbaru daripada seorang tokoh kontaversi era pasca sosialisme tanahair. "MENCARI JALAN PULANG - (daripada sosialisme kepada Islam) tulisan Dr. Kassim Ahmad.

Saya habis hadam selama 7 hari. Ranap dengan tulang belulangnya sekali. Jadi apa yang hebatnya?

Mengubah persepsi saya tentang agama ALLAH yang saya anuti secara 'baka'. Saya dapat 'nyawa' baru secara logik dan intelektual.

Lari dari kebekuan dan kemalasan berfikir bila sudah selesa terpenjara dalam lobang gelap. Terima kasih kerana membaca tulisan ini.

Rabu, April 23, 2008

seorang lelaki dan si kaki pancing...

kawan kami dah pandai rendam kail. sanggup terjah hutan lepas solat jumaat. tengah baik punya tunggu ikan sangkut, tengah-tengah hutan dia sudah langgar pantang. dia cakap, 'B>U>A>Y>A'... isshh...

kita tengok-tengok kawan kita ini nak cerita apa :

http://malay-tree.blogspot.com/

tengah pancing sebut 'buaya', nak cari nahas agaknya...

Ahad, April 20, 2008

Kisah Ayam Jantan balung merah...

Seorang Seniman Pembunuh Bahasa cuba bercerita. Cerita tentang seorang pemimpin kental. Bukan manusia...tapi ayam balung merah. Boleh ditekuni kisahnya di Tribute to Bagok! (Ayam Pahlawan, Bini Sereban)

jangan main-main sama itu ayam. tersalah langkah...dipatuknya mata kita. bahaya wooo...

Rabu, April 02, 2008

nice to meet Uncle Bogon! : 'terjumpa di Mesjid'


Sedang elok saja saya bagi salam selepas solat Maghrib. Dengan tidak semena-mena saya terperasan seperti ada lelaki sedang memerhatikan saya. Saya pandang wajahnya. Dia senyum pada saya. Saya senyum balik.

Laaa…Uncle Bogon rupanya. Hmm…lama juga saya tidak bertemu beliau. Kali terakhir seingat saya 5 atau 6 bulan lepas. Saya bangun dari duduk tahyat akhir, terus bangun menuju kepada sahabat saya yang berusia sekitar awal 50an itu. Saya hulur tangan. Salam bersambut.
Kepada pengunjung setia yang telah lama mengikut blog ini; tentu anda masih ingat tentang Uncle Bogon. Lelaki kasar berbadan tegap, bermisai lebat dan rambut panjang. Lepas wirid lebih kurang; Uncle Bogon terus ajak saya pekena teh tarik. Saya juga pernah menjadikan watak 'misteriusnya' sebagai salah satu karakter kartun.

Kami menuju ke warung Pasar Keramat, berdekatan dengan masjid. Saya tidak boleh tipu diri sendiri; saya benar-benar rindukan sahabat karib saya ini. Tetapi apa boleh buat, kekangan masa membatasi silaturahem.

Uncle Bogon masih berambut panjang. Bermisai tebal. Lebat berkilat. Dia punya penumbuk kalau anda tengok, silap besarlah kalau ada kutu rempit cari pasal. Sekali dia hayun silap-silap mati terus. Saya hormatkan dia. Bukan kerana stail dia macam wrestler WWE, tetapi sebab daya intelek dan pengalaman hidup. Lelaki ini jenis ‘lone ranger’. Selalu berseluar jeans lusuh dan bawa truck pick-up. Uncle memang 'pure'. Jenis "Orang Kasar".

Malam ini stail dia lain sikit. Pakai kain pelikat. Mungkin sebab pergi jemaah di Masjid agaknya. Uncle naik motor C70 lampu bulat, warna hijau pisang. Buruk tapi klasik beb! Parkir betul-betul bawah bumbung diperkarangan depan Masjid.

Kami berborak lebih kurang. Tanya khabar famili dan kawan-kawan lain. Dia hisap curut. Saya ‘pau’ sebatang. Perasa Cherry. Kami cakap pasal politik kemudiannya. Saya yang banyak bercerita. Uncle pakat diam dan dengar. Sekali sekala dia angguk. Angguk-angguk. Geleng-geleng.

Saya bagitahu, saya makin aktif tulis blog. Dia kata bagus…Saya cakap terima kasih. Rupanya masa pilihanraya itu hari, dia tiada dalam Negara. Musafir…Tak payahlah saya cerita dekat sini, dia pergi mana. Sebab Uncle memang tidak bagi saya cerita…nantilah lain kali. Saya pun sudah berjanji.



Sedar tak sedar hampir 3 jam kami bersidai kat warung. Chopati pun dah licin kami kerjakan. Uncle Bogon minta diri. Saya pun esok ada kerja. Sebelum ‘ciaaw cincau’ Uncle Bogon cakap secara berbisik…”Selagi engkau mampu tegur…engkau tegur. Kalau tidak…lebih baik diam. Jaga diri baik-baik. Solat jangan ambil ringan. Dalam dada penuhkan ‘isi’.”

Saya faham sangat dengan patah perkataan ‘isi’ yang dimaksudkan oleh sahabat saya itu. Isi itu merujuk kepada Zikrullah. Uncle memang salah satu guru saya. Kaya dengan pengalaman hidup…

Sabtu, Mac 15, 2008

3 ekor gagak hitam diatas tiang lampu...


Gagak hitam basah
ditimpa hujan
awan mendung
rintik merempuh dinding flat usang
Tiga ekor gagak bertengek
diatas wayar
tiang lampu milik 'gomen'
gagak hitam berborak
berborak-borak
isu politik nasional
bahang musim pilihanraya
selepas membuang undi
4 negeri bertukar tangan.

gagak pertama:

"aku tegar menyokong pemerintah
selama-lamanya. kerajaan ini banyak berjasa, kalian tahu apa?"

gagak kedua:

"sehingga mampus, aku sesekali tidak akan menyokong kerajaan rasuah ini.
kerajaan zalim ini tidak dapat undi aku. barang naik tanpa henti. gaji aku
cukup makan."

gagak ketiga: (hanya terdiam. sesekali mengangguk-anggukkan paruhnya.
diam seekor gagak menyimpan rasa. bersuara bila perlu)

petir berdentam dentum
guruh keras
kilat sabung menyabung.

Tiga ekor gagak masih bertenggek
gagak-gagak hitam
melihat arus perubahan
melanda daerah mereka.

Gagak hitam pertama terus bersuara
lantang
menyakitkan hati.

Gagak kedua
tidak kurang keras
sekali-sekala
mencarut-carut.

Gagak ketiga
diam.
berjaga-jaga.
bersedia.

ZAASSSSS! GRROOOMMMMMM! DEENTTUUUMMMMM!

2 ekor gagak hitam
mati kejang
terbakar dipanah petir
bulu hangus
paruh rentung.

Terbanglah gagak hitam ketiga
membawa kisah duka
sambil mengeleng-gelengkan kepala
menoleh diatas udara memandang
2 bangkai saudaranya
sambil berkata:

"Kalian selamanya tidak mahu belajar..."


(Ditulis oleh Shinri, 15 mac 2008; pukul 6.20 petang Sabtu)

Rabu, Februari 13, 2008

buka paip...


bila letih... buka paip.ambil wudhu'.
bila marah... buka paip. ambil wudhu'.
bila gembira... buka paip. ambil wudhu'.
bila solat... buka paip. ambil wudhu'.
bila mati... buka paip. kena wudhu'.
jangan lupa, diakhirat kelak... wajah sesetengah manusia akan bercahaya gilang gemilang...kesan dari wudhu' yang sempurna.
maka selalulah berwhudu'.

Isnin, Disember 31, 2007

tak mahu masalah

bila ada masalah, saya suka lari daripada masalah. saya pengecut? mungkin. tidak mahu masalah. tidak mahu terlibat dengan masalah. tidak mahu juga membuat masalah. berjiwa kecil? sumpah saya tidak tahu. mungkin.

rakaman


orang bercakap. orang berjalan. manusia makan. hujan renyai-renyai. awan mendung. kucing basah. burung basah. orang bersembang. minum teh... berkumpul-kumpul. buka payung. dijalanraya, lopak-lopak air...memercik dilanggar. tayar bas. kereta ekzos besar. lori tanah. motor cabuk. saya merakam...

Selasa, Disember 18, 2007

rambut anda rosak? heheheee...

(hah! ni la dia syampuu yang saya cakapkan tu...korang pi try carik kat mane-mane...ceh!)


mencuci rambut dengan shampoo setiap hari boleh mengeringkan rambut dan membuat rambut cepat rosak...eehh...,permulaan ayat ini macam iklan syampu rambut pula...heheheee.

Saja nak berkongsi sama, saya memang syampu rambut hampir setiap hari. Maklumlah cuaca di KL memang rambut cepat kotor. Kulit kepala berminyak dicampur dengan debu, asap dan macam-macam lagilah kaedah pencemaran alam yang tidak tersusun membuat saya terpaksa membasuh rambut setiap masa. Mahu atau tidak...dah terpaksa. Lainlah kalau saya suatu hari nanti terfikir nak buat rambut stail 'dreadlock', memang tak masuk rambut sebulanlah jawabnya...(agaknya macam manalah budak-budak yang bergaya dreadlock tu boleh tahan tak kena air samapi satu bulan. Takkan tak mandi wajib kot....hahaha...Solat dalam keadaan kotor?)
Cuci punya cuci...sampai rambut jadi kering, tapi kulit kepala selalunya kalau dah satu hari 'outdoor' memang berpeluh dan berminyak. Satu hari saya telah terjumpa dengan satu produk yang didatangkan daripada tanah besar india...berjenama 'Himalaya'. Pernah dengar tentang produk ini? Macam-macam ada...pil...supplement , vitamin sehinggalah membawa kepada syampu. Saya pun saja nak mencuba....ambil satu...jenis 'anti dandruff'...bila pakai rasa ok jerrr...akan tetapi harga ada sedikit mahal. So...setakat samapai hari ini...alhamdulillah...tak tau laah masa-masa depan. Tak boleh nak janji...cuba dulu.

Maaflah tulis tentang produk syampuu pula...ini bukan iklan tau. Saja nak berkongsi rasa...babaiii.

Isnin, Disember 10, 2007

Saya tahu apa?


Saya bukan tidak tahu

tahu juga

sedikit cuma


Kadangkala enggan tahu

enggan-enggan sahaja


Saya bingkas

menolak

doktrin

Akhbar dan TV


Saya bingkas

menolak

terkepenjaraan

kerana saya

manusia bebas...


(28/11/07 rabu ukp)

Rabu, November 07, 2007

kebenaran...

saya selalu mencari kebenaran. walau dari settitis embun menitis lalu ditutup oleh langit merah dengan kedatangan Maghrib saya terus mencari kebenaran. nikmat mencari dan berjumpa dengan kebenaran walaupun sedikit memang tidak mampu dicerita semua. kebenaran tetap datang selagi hati mahu melihat-lihat yang benar. tidak cari maka dikau tak berjumpa. jika cari pasti jumpa...bila telah berjumpa, nikmatilah seadanya...

Jumaat, Oktober 26, 2007

harmoni klasikal


Saya mula belajar dengar muzik klasikal dari Merlock. Dulu sakit jiwa dengar. perlahan-lahan saya jadi ketagih. malam tadi sehari suntuk saya mencuci "intelek' mendengar muzik klasik ini. hari ini, saya dan merlock dua-dua suka tchaikovsky. muzik ni memang dapat buka sejarah di cantum dengan ilusi tanpa membuka buku tebal...

Rabu, Oktober 03, 2007

redho...adalah kunci kepada pintu kebal...

dalam perjalanan mencari tuhan, pelbagai macam dugaan yang kita tempuh. buat menguji keimanan. tauladan dan pengajaran datang dalam pelbagai bentuk. bentuk lurus. bentuk melintang. kita tempuhilah dengan ketabahan yang terkumpul didalam dada. baik dan buruk pasti tersembunyi hikmahnya. hanya jauhari saudagar intan permata yang mengenal manikam. kadang kala kita tertanya-tanya kenapa kita ditimpa kesusahan? saya tidaklah dapat menjawabnya. namun saya tetap yakin dan kukuh percaya laksana akar pokok berusia ratusan tahun yang terbenam ditanah...bahawa Qada' dan Qadr memang punyai hikmah. rahsia tersembunyi, hanya mereka yang 'redho' mampu membuka pintu kebalnya.

ada orang menempuh jalan agama dengan mudah...alhamdulillah. tedapat juga yang terpaksa mencari kebenaran dengan segala bentuk cubaan. redhalah dengan jalan itu...syurga buat orang-orang yang tahan...

ada orang duit banyak namun hati sering gelisah. resah. dimasa yang lain seorang manusia yang hanya berkerja sebagai kerani sepanjang hidupnya...dapat mengecapi kebahagiaan hati dan fikiran. walau mungkin tidak pernah merasai menaiki mobil BMW 7series...tapi dapat juga terbang keudara bersama Boeing 747 menuju Masjidil Haram! ini semua bahagian masing-masing. Allah swt itu tuhan yang Maha adil...semua dugaan dan rintangan yag diberi mempunyai 2 maksud...pertama...semakin dekat hambaNya kepada Nya...yang lain...semakin lalai mengejar dunia yang sering menipu...

Selasa, September 18, 2007

buku tasawuf

kecintaan saya terhadap buku-buku tasawuf memang sejak lama dulu. buku tasawuf banyak merungkai misteri. alam malakut yang penuh keajaiban. tasawuf patut datang bersama tauhid dan syariat. jangan saling tinggal meninggal. kalau satu tersasar buruk padahnya. jadilah manusia sesat lagi menyesatkan. tasawuf itu ilmunya sangat mendalam. kalau dalam perigi buta, rasanya dalam lagi perginya ilmu ma'arifat. tasawuf itu ilmu akhlak. ilmu betul membetul buat penunjuk jalan yang betul. jika syariat berjalan tanpa tasawuf...maka berjalanlah pemiliknya dengan segala rasa ego mendabik dada. kepala besar batu ada duduk! ilmu hati ini mempunyai faedah yang sangat besar. membersihkan kotoran hati yang telah lama bermukim. hati yang kotor datanglah penyakit. sombong, takabbur, riak, ujub...benci dan marah. tasawuf berkait rapat dengan zikrullah. roh yang kurang dihidangkan zikrullah lama kelamaan akan sakit. penawarnya ingat kepada Allah swt. Ilmu tasawuf datang dengan pakej sempurana. datang beradab untuk bai'ah kalimah "tiada tuhan melainkan Allah swt.

bila saya membaca kitab-kitab Tasawuf, saya cuba membaca dengan perasaan ingin tahu dan hati tebuka. jangan tutup! kalau tutup rasanya tidak dapat apa...

Isnin, September 10, 2007

blog-blog yang saya suka

2 weblog yang paling kerap saya masuk. Blog kepunyaan Dato' Kadir Jasin dan blog milik faisal tehrani. agak teruja juga dengan lenggok gaya dakwat mereka. namun saya punya pendekatan penulisan yang berlainan. saya cuba cara saya. saya memang mahu berlainan daripada mereka sudah tentunya. Mereka dalam kelas yang agak popular dan diiktiraf sedangkan saya punya kelas tersendiri. tidak perlu perbandingan cuma...cuma saya suka masuk blog mereka.

masih mencari 'cutting' sendiri...

cuba membenarkan Stephen King

diriku ini cintakan menulis. ketagih rasanya. menulis berikan diri ini kebebasan, walau tidak mutlak. kiranya saya cuba memecahkan belon-belon penjara yang mentupi minda. Stephen King pernah berkata...'writing can give me a freedom'. mula-mula saya tak tahu menahu. lama-lama makin tahu. betul menulis memberi saya kecapi kebebasan menulis ikut sedap rasa dan dihiasi lenggok bahasa indah. cuba mengasahkan bakat kreatif penulisan membuat saya teruja sambil tersenyum manja...

saya pikir...saya mampu...habiskan masa sepanjang malam...duduk berjam-jam mengetuk keyboard laptop saya. memikirkan cinta saya...