Rabu, Julai 09, 2008

Brother Anwar minta guna Hukum QAZAF!



Gambar Anwar dan Wan Azizah ketika membuat aduan kepada pihak JAWI pagi tadi. Kesemua mereka keluar dari pejabat JAWI kira-kira pukul 10.50 pagi.

Ini laporan terbaru HarakahDaily.Net:

Ikut nasihat ulama, Anwar buat aduan 'qazaf' di Jawi
Azamin Amin Foto Wan Zahari Wan Salleh Wed Jul 09, 08 12:57:28 pm MYT
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Hrkh) - Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat aduan berhubung isu fitnah yang dilemparkan ke atasnya di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Anwar hadir dengan ditemani oleh isteri beliau yang juga Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beserta dua orang peguamnya iaitu Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek dan Kamar Ainiah Kamaruzaman.

"Atas nasihat ulama dan peguam, saya telah membuat aduan kepada bahagian penguatkuasaan, membersihkan nama saya dan keluarga daripada fitnah jahat dan mengaibkan ini.
"Dan saya dinasihatkan membawa kes ini mengikut undang-undang peruntukan 'qazaf'. Jadi, (saya) minta bahagian penguatkuasaan buat siasatan segera," katanya kepada pemberita.

Sementara itu Kamar Ainiah menjelaskan kepada pihak media, hukuman dan makna 'qazaf' yang termaktub dalam undang-undang syariah di negara ini.

Menurut seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, "mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan." kata Ainiah.

'Qazaf' katanya ialah tuduhan palsu terhadap zina dan jika sabit boleh dihukum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 dan ianya merupakan kesalahan dalam hukum hudud di mana seorang penuduh yang terbukti bersalah boleh dikenakan 80 kali sebatan.

Turut ditanya berhubung isu sumpah yang turut dibangkit pelbagai pihak demi membersih tuduhan terhadapnya dan Anwar menyatakan mengikut pandangan ulama yang melarang berbuat demikian.

Malah katanya sumpah menjunjung al-Quran tidak ada nas atau dalilnya dalam Islam.
"Saya tidak boleh ikut cabaran. Kalau mahu guna al-Quran, guna Islam ianya mesti ikut syarak...bukan isu politik atau isu peribadi. Ini nasihat yang diberi oleh ulama dan saya tunduk dengan nasihat itu.

"Kalau mereka kata perlu jawab sumpah, kita jawab. Tapi setakat ini ianya isu jenayah kalau 'you' buat tuduhan, 'you' kena jawab," kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu. - mks. _

Tiada ulasan: