Isnin, September 13, 2010

APAKAH BENAR YANG DI BUNUH DAN DI BAKAR ITU SOSILAWATI?


SAH...Sosilawati dan tiga lain dibunuh mayat dibakar
Oleh: LUKMAN ABDULLAH

TERBAHARU - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,Datuk Seri Bakri Zinin awal petang Ahad mengesahkan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang hilang bersamanya sejak 30 Ogos lalu dibunuh dan mayat mereka dibakar di Lada ng Gadong,Tanjong Sepat dekat Banting, Selangor.

Beliau memberitahu sidang akhbar bahawa abu mayat mereka telah dibuangdi sebatang sungai dekat ladang berkenaan.

Katanya, polis menahan lapan orang termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya yang juga peguam serta empat pekerja ladang milik Datuk itu.



Menurut Bakri hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit itu seluas 1.6 hektar, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.

Sebelum itu Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengesahkan tangkapan lebih empat orang dalam kes kehilangan Sosilawati dan tiga yang lain.

Beliau bagaimanapun enggan sahkan sama ada antara empat mayat rentung yang ditemui di Tanjong Sepat malam tadi adalah mayat jutawan kosmetik itu.

Katanya, pihak forensik masih jalankan siasatan. Ismail ditemui wartawan selepas majlis perbarisan perpisahan untuk Tan Sri Musa Hassan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur pagi Ahad.


Sementara itu pada sebelah tengahari Ahad Bernama melaporkan pasukan forensik polis memasuki kawasan sebuah ladang pertanian bersepadu di Tanjong Sepat bersama-sama dengan sekurang-kurangnya dua suspek .

Petugas media yang berada di jalan masuk ke Ladang Gadong melihat dua konvoi kenderaan dengan kawalan ketat polis memasuki kawasan itu, dan dua lelaki dilihat memakai pakaian lokap..

Menurut seorang anggota polis, mereka memasuki sebuah kawasan yang terletak kira-kira 100m dari jalan utama kawasan berkenaan, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) itu.

Pasukan forensik turut ke sebuah restoran, terletak kira-kira empat kilometer dari ladang itu untuk menjalankan siasatan.Helikopter polis juga dilihat berlegar-legar di kawasan itu. -12/11/2010





Empat mayat rentung ditemui…ada kaitan dengan kehilangan Sosilawati




BERITA SEBELUM INI-Kalau mengikut jumlah mayat yang ditemui dan lokasinya sahaja... ia dapat terus dikaitkan dengan kehilangan penuh misteri jutawan kosmetik , Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lelaki sejak 30 Ogos lalu.

Ini ekoran penemuan empat mayat dalam keadaan rentung di sebuah ladang dekat Tanjong Sepat,Morib awal Sabtu malam.

Mereka dipercayai dibunuh sebelum dibakar.

Sosilawati, 47,pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru,Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 hilang sejak 13 hari lalu selepas dikatakan mahu ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Polis juga dikatakan telah menahan beberapa orang termasuk seorang peguam yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

Penemuan mayat-mayat itu dikatakan hasil soalsiasat polis keatas mereka yang ditahan.

Sehingga Isnin lalu polis hanya menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

Tanjong Sepat terletak tidak jauh dari Banting.

Namun sehingga berita ini ditulis jam 2.30 pagi polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai penemuan mayat itu atau samaada ia ada kaitan dengan kehilangan Sosilawati.

Difahamkan usaha sedang dibuat untuk kenalpasti identiti empat mayat berkenaan.



Sementara itu Bernama melaporkan polis telah menyekat laluan masuk ke Ladang Gadong, di Jalan Gadong, Tanjung Sepat sejak malam tadi dan tidak membenarkan media yang berkumpul di situ memasuki kawasan itu.

Salah seorang anggota polis yang bertugas memberitahu pemberita mereka diarahkan agar tidak membenarkan media masuk ke dalam kawasan itu.

Difahamkan pihak forensik dari Bukit Aman akan datang pagi ini untuk menjalankan siasatan ketika spekulasi kuat mengatakan bahawa keempat-empat mereka telah dibunuh dan mayat mereka dibakar.

Menurut seorang penduduk di kawasan berhampiran, ladang itu menjalankan pertanian bersepadu seperti ternakan ayam, lembu dan penanaman longan.

Sejak tersebarnya khabar angin bahawa polis telah menjumpai mayat di situ, ramai wartawan, jurugambar dan krew TV berkejar ke ladang itu sejak tengah malam tadi tetapi tidak dibenarkan masuk ke kawasan ladang oleh pihak polis yang berkawal di luar jalan utama.-11/9/2010

Tiada ulasan: