Isnin, September 13, 2010

WAJAH-WAJAH YANG DITANGKAP KES BUNUH SOSILAWATI

LELAKI yang dipercayai seorang peguam bergelar Datuk (kanan) yang menjalankan amalan guaman di sebuah firma di Banting dan tiga lagi suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain ditahan reman di Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Abdul Nazir Mohamed

Dipukul, dibakar, dibuang

Oleh NOR SEDEK ISMAIL, ANGELINA SINYANG, SHOLINA OSMAN, NURUL ANUAR KARI, ROZIANAH RISMAN, MOHD. FIRDAUS ISMAIL, MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA, FAZRINA AYU RADUIAN dan NUR NAZLINA NADZARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LANGAT 12 Sept. – Polis hari ini mengesahkan empat daripada lapan suspek yang ditahan berhubung kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain mengaku memukul keempat-empat mangsa sehingga mati.

Malah, suspek terbabit turut mengaku telah menahan, membunuh dan membuang abu mayat kesemua mangsa ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Morib dekat sini.

Sehingga kini, polis juga percaya senjata yang digunakan oleh pembunuh kejam terbabit turut dimusnahkan sehingga menjadi abu bagi menghapuskan bukti.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pembunuhan kejam itu dilakukan di kawasan seluas 500 meter persegi dalam ladang seluas 1.6 hektar di Tanjung Sepat, Banting dekat sini.

Menurut beliau, di dalam ladang itu, terdapat beberapa buah rumah kediaman serta tembok yang menghalang pemandangan dari luar.

Bercakap pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini hari ini, Mohd. Bakri berkata, polis kini menunggu siasatan unit forensik dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti mayat kesemua mangsa.

“Bagaimanapun, hasil siasatan berdasarkan pengakuan-pengakuan suspek menjurus kepada kes kehilangan keempat-empat mangsa sejak 30 Ogos lalu.

“Kita percaya mangsa telah dimusnahkan dengan cara demikian (tahan, bunuh, bakar dan buang). Semua eksibit (bahan bukti) termasuk pisau dibakar menjadi abu. Mereka telah dibunuh dan dibakar di tempat yang sama.

“Pegawai polis kini sedang menyiasat untuk mencari bahan bukti dengan kerjasama Jabatan Forensik dan Jabatan Kimia di tempat kejadian,” katanya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah dan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan.

Sosilawati, 47, bersama tiga lelaki iaitu pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44: pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan mahu ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, misteri kehilangan keempat-empat mangsa itu hampir terungkai dengan tertangkapnya lapan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut kelmarin di sekitar daerah ini.

Salah seorang daripada suspek yang ditahan merupakan peguam bergelar Datuk berusia 41 tahun yang dinamakan polis sebagai suspek paling dikehendaki dalam kes kehilangan usahawan wanita terbabit.

Hasil siasatan ke atas suspek, polis mendapat maklumat bahawa kesemua mangsa sudah dibunuh dan dibakar manakala abu mayat mereka dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang akhbar di ibu negara memberitahu, pihaknya percaya kes kehilangan Sosilawati dan tiga lagi lelaki sejak 30 Ogos lalu itu akan dapat diselesaikan berikutan penangkapan beberapa suspek terbabit.

“Berhubung kes kehilangan Sosilawati, memang kita ada tangkapan (suspek) dan kita percaya tangkapan tersebut boleh menyelesaikan kes ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perbarisan perpisahan sempena persaraan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Mohd. Bakri juga mengesahkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Polis Kuala Lumpur menyiasat kes tersebut kerana kesemua mereka dilihat pada kali terakhir meninggalkan pejabat Sosilawati di Kuala Lumpur.

Beliau memberitahu, polis telah memaklumkan kepada keluarga mangsa mengenai perkembangan kes yang diperoleh polis sehingga hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menahan lima suspek berusia antara 19 hingga 45 tahun kelmarin, diikuti dua adik beradik berusia 38 dan 41 tahun semalam manakala seorang remaja ditahan hari ini.

Beliau berkata, polis tidak boleh mendedahkan kronologi penangkapan itu dengan terperinci kerana kes ini masih dalam siasatan dan berprofil tinggi.

“Kesemua suspek terdiri daripada dua perempuan dan enam lelaki. Dua daripada mereka adalah adik-beradik termasuk salah seorang daripadanya bergelar Datuk dan juga seorang ahli perniagaan.

“Enam lagi yang ditahan adalah rakyat tempatan yang bekerja dengan peguam tersebut,” katanya.

Mohd. Bakri menambah, penahanan kesemua suspek dilakukan apabila salah seorang daripada mereka dikesan memakai jam tangan sama seperti yang dimiliki oleh salah seorang mangsa.

Beliau juga tidak menafikan kedua-dua beradik itu adalah dalang kes tersebut dan ladang seluas 1.6 hektar itu adalah milik ahli perniagaan berkenaan.

Sementara itu beliau memberitahu, pihaknya sedang menyiasat secara menyeluruh untuk mengetahui motif kejadian.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan perniagaan, persaingan perniagaan atau perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dalam urusan jual tanah.

Tiada ulasan: