Sosilawati: Anak pemandu jatuh sakit selepas tahu ayah dibunuh
2010/09/12
SEREMBAN: Anak perempuan sulung kepada Kamaruddin
Shamsudin, pemandu jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya, jatuh sakit sebaik mendapat tahu hari ini bahawa ayahnya dibunuh dengan kejam sebelum dibakar. Menurut bekas isteri Kamaruddin, Noorfazilah Ab Sani, anak perempuan mereka
itu, Balqis, 12, sangat rapat dengan Kamaruddin dan asyik menangis mengenangkan
nasib ayahnya dan tidak menjamah sedikit makananpun sejak pagi tadi.
Noorfazilah, 33, berkata Kamaruddin sudah berjanji untuk menjemput anaknya
itu menyambut lebaran di kampung Kamaruddin di Kuantan kali ini.
"Balqis dengan bekas suami memang rapat dan manja. Bila saya beritahu
ayahnya sudah tiada, dia terus menangis, tidak mahu makan dan mengalami sakit
kepala sehingga demam," katanya kepada Bernama.
Semasa Kamaruddin dilaporkan hilang, Balqis sering memikirkan nasib ayahnya
malah selalu bertanya apa juadah berbuka puasa ayahnya.
Perkahwinan Noorfazilah dengan Kamaruddin berakhir dengan perceraian pada
2006, setelah mendapat tiga cahaya mata - Balqis Dayana; Izran Akmal, 9; dan
Irfan Aiman, 8.
"Izran masih keliru. Pada hari pertama ketika bekas suami dilapor hilang,
dia menjerit-jerit menyatakan itu bukan ayah dia sehinggalah gambar Kamaruddin
keluar dalam surat khabar, barulah dia terdiam," kata Noorfazilah.
Anak ketiga mereka, Irfan Aiman tinggal bersama kakak Kamaruddin di Kuantan
sejak kecil lagi.
Noorfazilah tinggal di Rembau bersama dua lagi anaknya itu.
Mereka berkahwin semasa Kamaruddin bekerja di King Studio dan Noorfazilah
ketika itu baru saja bertapak untuk menjadi artis rakaman dengan kelahiran
sebuah album dangdut.
Pasangan suami isteri itu sangat rapat dengan penyanyi dan juga bekas suami
Sosilawati iaitu Nash dan Noorfazilah percaya, bekas suaminya menjadi pemandu
Sosilawati selepas diperkenalkan oleh Nash.
Noorfazilah banyak bertanya tentang kejadian sebenar kerana hanya tahu
perkembangan tragedi pembunuhan itu melalui akhbar hari ini.
"Saya sebak mengenangkan anak-anak saya. Balqis Dayana akan mengambil
peperiksaan UPSR pada 22 dan 23 Sept ini, fikiran dia pula sudah pasti
terganggu," katanya.
Noorfazilah berkata beliau sedang berusaha memberi semangat kepada Balqis
untuk belajar dengan rajin: "Kalau betul sayang ayah. Berdoa dan bacalah Yassin
untuk ayah. Belajarlah rajin, jadi anak yang baik supaya ayah suka".
Menurut wanita itu, bekas suaminya itu dikenali sebagai "Kamal King" oleh
kawan-kawan lama dan tidak ramai yang mengecam kehilangan beliau di dada akhbar
kerana mereka tidak mengetahui nama sebenar Kamaruddin. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan