Misteri kehilangan Sosilawati mungkin terjawab hari ini
12/09/2010 11:13am
BANTING 12 Sept. – Misteri kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi dijangka diketahui hari ini apabila pasukan forensik polis membuat siasatan di sebuah ladang pertanian bersepadu.
Polis telah menyekat laluan masuk ke Ladang Gadong, di Jalan Gadong, Tanjong Sepat dekat sini sejak malam tadi dan tidak membenarkan media yang berkumpul di situ memasuki kawasan itu.
Salah seorang anggota polis yang bertugas memberitahu pemberita mereka diarahkan agar tidak membenarkan media masuk ke dalam kawasan itu.
Difahamkan pihak forensik dari Bukit Aman akan datang pagi ini untuk menjalankan siasatan ketika spekulasi kuat mengatakan bahawa keempat-empat mereka telah dibunuh dan mayat mereka dibakar.
Menurut seorang penduduk di kawasan berhampiran, ladang itu menjalankan pertanian bersepadu seperti ternakan ayam, lembu dan penanaman longan.
Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak hampir dua minggu lepas semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.
Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan