Selasa, Mei 20, 2008

Video Pak Lah TERKEJUT dengan keputusan Dr. Mahathir.

Tunjuk kesetiaan – PM - Abdullah minta ahli UMNO bertenang, terus berjuang

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan ROHANI IBRAHIM



KUALA LUMPUR 19 Mei – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua ahli UMNO bertenang dan menunjukkan kesetiaan kepada parti walaupun bekas presiden parti itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak keluar UMNO.

“Kita perlu menjadi ahli UMNO yang taat setia kepada parti dengan memastikan parti kita terus menjadi parti yang kuat dan mampu meneruskan perjuangan seperti mana yang telah diasaskan sejak dahulu lagi,” katanya.

Mengulas tindakan Dr. Mahathir keluar parti, Presiden UMNO itu melahirkan rasa terkejut dengan tindakan nekad tersebut tetapi mengingatkan ahli-ahli UMNO: “Apa yang penting dalam hal ini, kalau itulah keputusannya, ahli UMNO perlu bertenang.”

“Saya sendiri sejak dahulu sampai sekarang tidak pernah keluar UMNO. Saya akan teruskan perjuangan UMNO dan akan tetap setia kepada UMNO.

“Saya amat berharap ahli UMNO akan tetap setia dengan parti ini. Apa akan jadi kepada kita jika tidak ada parti seperti UMNO? UMNO telah banyak berjasa kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas bertemu beberapa delegasi Kongres Teknologi Maklumat Sedunia 2008 di sini hari ini.

Dalam reaksinya, Abdullah juga menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatannya sebagai pemimpin tertinggi kerajaan dan Presiden UMNO ekoran tindakan bekas perdana menteri itu.

“Kenapa saya perlu meletak jawatan? Saya ada tugas yang perlu dilaksanakan, saya akan meneruskan tugas-tugas saya,” katanya

Sambil mengakui tindakan Dr. Mahathir itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan parti, Abdullah meminta semua ahli UMNO tidak terikut-ikut dengan langkah tersebut.

“Saya terkejut dengan tindakan Tun meletakkan jawatan. Nampaknya Tun tidak mahu lagi jadi ahli UMNO dan saya fikir sudah tentu Tun telah memikirkannya,’’ kata beliau.

Dalam sidang akhbarnya di Alor Star ketika mengisytiharkan dirinya keluar UMNO, Dr. Mahathir berkata, beliau hanya akan kembali menyertai UMNO selepas Abdullah meletak jawatan sebagai Presiden UMNO atau tidak lagi menjadi pemimpin negara.

Dr. Mahathir mendakwa UMNO kini hanya menjadi sebuah badan untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri “yang mengutamakan keluarganya daripada kepentingan negara.”

Ditanya sama ada beliau bimbang dengan kesan pengumuman Dr. Mahathir itu terhadap UMNO yang merupakan parti tunjang Barisan Nasional (BN), Abdullah memberitahu, mungkin ada ahli yang akan meninggalkan UMNO tetapi beliau “tidak fikir ia akan melibatkan Ahli Parlimen UMNO.”

UMNO mempunyai 79 ahli Parlimen daripada 140 wakil rakyat BN di Dewan Rakyat.

“Kalau ahli akar umbi... wallahhualam. Keahlian UMNO lebih daripada tiga juta. Mungkin ada (yang keluar parti), mungkin tidak ada tetapi yang penting ialah kita perlu fikir baik-baik adakah kita mahu meninggalkan UMNO.

“Kalau kita benar-benar ahli yang memperjuangkan UMNO, kita mesti bersabar dengan UMNO.

“Kalau kita tidak mahu dengan UMNO, bererti tidak ada lagi perjuangan UMNO dalam diri kita. Bagi saya, saya akan terus berjuang dengan UMNO,” tegasnya.

Menurut Abdullah, semua ahli UMNO harus menunjukkan kesetiaan kepada parti kerana UMNO banyak berjasa kepada rakyat negara ini.

Katanya, bukan orang Melayu sahaja yang dapat manfaatnya malah hasil perjuangan UMNO juga dirasai kaum lain.

“Saya tidak kata ia (langkah Dr. Mahathir keluar UMNO) tidak menjejaskan langsung, namun saya masih percaya ahli-ahli kita masih sayangkan UMNO dan tidak logik mereka sewenang-wenangnya mahu meninggalkan parti kerana tiada alasan untuk mereka bertindak sedemikian,” katanya.

Abdullah menegaskan, kekuatan UMNO adalah berasaskan kepada perpaduan majoriti ahli dan bukannya disebabkan pemimpin berpengaruh.

“Dulu ketika pemimpin besar, kanan dan berpengaruh tidak ada dalam parti, majoriti ahli UMNO tetap bersama parti, sebab itu UMNO wujud sampai ke hari ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Dr. Mahathir baru-baru ini, Abdullah berkata, beliau tidak tahu apa yang dibincangkan oleh kedua-duanya.

“Saya tidak tahu apa yang dibincangkan antara beliau (Tun Mahathir) dengan Najib,” katanya.

Sumber Utusan Malaysia (Selasa 20 Mei 2008)

1 ulasan:

daren berkata...

kenapa perlu pak lah terkejut . segala pandangan yang tun emukakan tidak mendapat perhatian, seorang nasionalis seperti tun perlu mendapat penghargaan. saya menyertai UMNO sebab terpana dengan karisma tun yang saya angap permata politik melayu. segala yang di lakukan adalah untuk orang melayu, tapi kita lupa bahawa orang yang berusia 80 tahun ini yang membawa malaysia ke mata dunia. dulu orang kritik tun sebab PROTON tapi sekrang proton berjaya.
Kita berjuang demi bangsa, agama, dan negara,perkuatkan parti dan lakukan kerja kerana nama PERJUANGAN.... TUN ialah IDOLA saya dari kecil dan tak sanggup saya lihat dia diperlakukan demikian