Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan terhadap pengkaji aktiviti paranormal Syed Abdullah Syed Hussesin Al-Attas, yang mengendalikan laman blog www.uncleseekers.blogspot.com berhubung kenyataannya yang didakwa memfitnah Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Jabatan Siasatan Jenayah Johor dalam kenyataan hari ini berkata kedua-dua lelaki berumur 23 dan 24 tahun yang merupakan kenalan Syed Abdullah itu ditahan pada pukul 9.30 malam tadi, di Jalan Pantai Kundor, Tanjung Kling, Melaka.

"Kedua-dua mereka ditahan sepasukan anggota polis yang diketuai ASP Wong Chee Mean dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan. Polis turut merampas beberapa peralatan komputer daripada mereka," kata kenyataan itu.

Syed Abdullah, 46, atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers kini ditahan reman bersama seorang wanita berumur 26 tahun sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972.

Kedua-dua mereka ditahan di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan, pada pukul 9.45 malam, Rabu lepas.

-Bernama